Terkini
Pemuda UMNO tawar peguam percuma buat peserta himpunan GARAH yang bakal didakwa
- Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh, menegaskan bahawa hak rakyat Malaysia untuk berhimpun secara aman adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
- “Seperti mana pihak pembangkang sebelum ini menuntut hak rakyat untuk berhimpun,sepatutnya hak itu perlu dipertahankan juga ketika mereka menerajui kerajaan pada hari ini dan bukan dengan menakutkan rakyat dengan kuasa yang ada pada kamu!!
- Sepatutnya tahan orang yang menceroboh tanah,bukan tahan orang yang mempertahankan pencerobohan!!,” tegas beliau.
KUALA LUMPUR — Susulan laporan penahanan beberapa individu ketika menyertai Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) di hadapan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh, menegaskan bahawa hak rakyat Malaysia untuk berhimpun secara aman adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Dalam kenyataan menerusi Facebook, beliau memaklumkan bahawa beberapa rakyat Malaysia telah ditahan pada malam himpunan tersebut berlangsung dan difahamkan akan didakwa di mahkamah pada bulan hadapan.
Justeru Pemuda UMNO Malaysia menawarkan khidmat peguam secara percuma kepada mana-mana individu yang bakal didakwa.
“Sehubungan dengan itu,pergerakan pemuda UMNO Malaysia ingin menawarkan perkhidmatan peguam pemuda UMNO secara percuma bagi mereka yang akan didakwa atas himpunan ini,” jelas beliau.
Dr Akmal turut membangkitkan persoalan mengenai pendekatan penguatkuasaan terhadap peserta himpunan tersebut, sambil menyatakan bahawa hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun secara aman tidak wajar disekat melalui tindakan yang boleh menimbulkan persepsi menakut-nakutkan rakyat.
“Seperti mana pihak pembangkang sebelum ini menuntut hak rakyat untuk berhimpun,sepatutnya hak itu perlu dipertahankan juga ketika mereka menerajui kerajaan pada hari ini..
“Dan bukan dengan menakutkan rakyat dengan kuasa yang ada pada kamu!!
“Sepatutnya tahan orang yang menceroboh tanah,bukan tahan orang yang mempertahankan pencerobohan!!,” tegas beliau.
Sabtu lalu, polis mengeluarkan larangan penganjuran himpunan GARAH yang diadakan di hadapan Kompleks Membeli Belah Sogo atas faktor keselamatan awam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, keputusan itu dibuat selepas pihak polis menjalankan risikan keselamatan serta meneliti maklum balas daripada pelbagai pihak berkaitan.-The Merdeka Times