Terkini
Pemilik tanah tak perlu dapatkan perintah mahkamah sebelum roboh struktur haram – GARAH
- Ketua (Sementara) GARAH, Haniff Khatri Abdulla berkata pemilik tanah tidak diperlukan di atas undang-undang untuk mendapatkan apa-apa perintah mahkamah sebelum melaksanakan perobohan struktur binaan haram di atas tanah miliknya.
- Beliau menegaskan perkara itu sebagai merujuk laporan Malaysiakini bertarikh 15 Februari 2026 bertajuk “Ambiga, Surendran desak PM tarik balik arahan ‘bersihkan’ kuil haram”.
- “Sekiranya peguam kanan, Ambiga Sreenevasan dan N. Surendran serius mempertahankan pendapat mereka yang disifatkan sebagai khilaf, tindakan sewajarnya ialah membawa perkara itu ke mahkamah untuk mencabar keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Sidek Bin Haji Muhamad & 461 Ors v The Government of the State of Perak & Ors [1982] 1 MLJ 313,” katanya.
KUALA LUMPUR – Pemilik tanah tidak diperlukan di atas undang-undang untuk mendapatkan apa-apa perintah mahkamah sebelum melaksanakan perobohan struktur binaan haram di atas tanah miliknya.
Ketua (Sementara) GARAH, Haniff Khatri Abdulla menegaskan perkara itu sebagai merujuk laporan Malaysiakini bertarikh 15 Februari 2026 bertajuk “Ambiga, Surendran desak PM tarik balik arahan ‘bersihkan’ kuil haram”.
Menurut beliau, sekiranya peguam kanan, Ambiga Sreenevasan dan N. Surendran serius mempertahankan pendapat mereka yang disifatkan sebagai khilaf, tindakan sewajarnya ialah membawa perkara itu ke mahkamah untuk mencabar keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Sidek Bin Haji Muhamad & 461 Ors v The Government of the State of Perak & Ors [1982] 1 MLJ 313.
Bagaimanapun, katanya, terdapat dua halangan besar yang mungkin dihadapi oleh kedua-dua peguam tersebut.
“Pertama, sama ada penceroboh mempunyai hak perundangan untuk menyaman atas pengakuan sebagai pihak yang mengurus struktur binaan haram di atas tanah yang dicerobohi.
“Kedua, sama ada mereka sanggup mengambil risiko untuk menghadapi pertuduhan jenayah sebagai penceroboh di bawah Seksyen 441/447 Kanun Keseksaan. Pilihan adalah di tangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Haniff Khatri berkata, GARAH percaya pasukan guaman pemilik tanah bersedia untuk berhujah dan mempertahankan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Sidek di mana-mana medan mahkamah yang sah sekiranya cabaran dimulakan.
“Sehingga perkara itu dilakukan melalui saluran kehakiman yang betul, tidak ada mana-mana peguam dengan apapun tahap kekananan wajar membuat salah nyata kepada pihak awam melalui hujah perundangan yang bertentangan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang sah dan masih kekal terpakai.
“Titik noktahnya adalah, pemilik tanah tidak diperlukan di atas undang-undang dan fakta kes ini, untuk pergi ke mahkamah untuk perolehi apa-apa perintah mahkamah sebelum melaksanakan perobohan struktur binaan haram di atas tanah itu,” ujarnya. – The Merdeka Times