Terkini
MRM tegas Street Dakwah patuh undang-undang, Minta DBKL jelas percanggahan fakta
- Pengerusi Multiracial Reverted Muslims (MRM), Muhammad Azim Abdullah Suhaimin menjelaskan bahawa sejak awal MRM telah mengambil langkah proaktif mendapatkan kepastian daripada Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL berhubung keperluan lesen.
- “Saya sendiri hadir ke Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL untuk bertanya secara langsung. Jawapan yang diberikan ketika itu jelas.
- “Tiada lesen diperlukan kerana tiada urusan perniagaan dijalankan. Aktiviti dijalankan di ruang awam dan bukan di dalam premis perniagaan. Sepanjang 14 tahun Street Dakwah dijalankan, tiada larangan rasmi atau kompaun pernah dikeluarkan kepada MRM termasuk pada hari kejadian barang-barang dakwah kami disita,” tegas beliau.
KUALA LUMPUR – Pengerusi Multiracial Reverted Muslims (MRM), Muhammad Azim Abdullah Suhaimin, tampil mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tindakan penguatkuasaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap reruai Street Dakwah pertubuhan itu di sekitar Bukit Bintang baru-baru ini.
Dalam kenyataan tersebut, beliau menjelaskan bahawa sejak awal MRM telah mengambil langkah proaktif mendapatkan kepastian daripada Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL berhubung keperluan lesen.
Menurutnya, jawapan yang diterima ketika itu menyatakan tiada lesen diperlukan kerana tiada urusan perniagaan dijalankan dan aktiviti berlangsung di ruang awam, bukan dalam premis perniagaan.
“Saya sendiri hadir ke Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL untuk bertanya secara langsung. Jawapan yang diberikan ketika itu jelas.
“Tiada lesen diperlukan kerana tiada urusan perniagaan dijalankan. Aktiviti dijalankan di ruang awam dan bukan di dalam premis perniagaan. Sepanjang 14 tahun Street Dakwah dijalankan, tiada larangan rasmi atau kompaun pernah dikeluarkan kepada MRM termasuk pada hari kejadian barang-barang dakwah kami disita,” tegas beliau.
Katanya, sekiranya benar berlaku pelanggaran peraturan, pihaknya bersedia mengaku kesalahan dan membayar kompaun sewajarnya.
Mengulas dakwaan reruai menghalang laluan awam, Azim memaklumkan bahawa lokasi sama turut digunakan kumpulan buskers hampir setiap hari selepas aktiviti MRM tamat.
Malah, katanya, kawasan tersebut pernah digunakan dalam program turun padang bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan pada 30 Januari 2026.
Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa MRM tidak menuntut layanan istimewa, sebaliknya hanya memohon penguatkuasaan yang konsisten dan menyeluruh terhadap semua pihak sekiranya lokasi tersebut benar-benar dikategorikan sebagai menghalang laluan awam.
Berhubung dakwaan tiada wakil tampil memberi kerjasama, beliau memaklumkan bahawa sukarelawan MRM berada di lokasi selepas kembali daripada urusan singkat ke tandas, dan interaksi dengan pegawai DBKL telah berlaku.
Katanya, rantai keselamatan reruai turut dibuka dengan kerjasama wakil MRM.
Beliau mempersoalkan bagaimana struktur reruai boleh dialihkan sekiranya tiada wakil di lokasi, selain menyatakan bahawa wakil sama turut mengambil gambar kehadiran 12 pegawai DBKL di tempat kejadian.
Justeru, menurutnya, kenyataan bahawa tiada wakil tampil memberi kerjasama tidak selari dengan fakta di lapangan.
“Kenyataan bahawa tiada wakil tampil memberi kerjasama adalah tidak selari dengan fakta yang berlaku di lokasi. MRM menghormati dan mendaulatkan undang-undang. Kami tidak memanipulasi isu ini menjadi polemik perkauman atau agama.
“Kami tidak memainkan naratif mangsa. Namun, kami berhak mempertahankan integriti organisasi apabila kenyataan yang dikeluarkan memberi gambaran yang tidak tepat,” jelas Azim.
Beliau turut memohon penjelasan lanjut daripada DBKL berhubung percanggahan fakta yang dibangkitkan agar isu tersebut tidak terus disalah tafsir masyarakat.
MRM, katanya, kekal komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan aktiviti dijalankan secara tertib dan mematuhi garis panduan.
Azim juga menyambut baik kenyataan DBKL bahawa aktiviti dakwah di ruang awam tidak dihalang, sambil menegaskan Street Dakwah menjadi platform dialog terbuka antara masyarakat pelbagai latar belakang, termasuk pelancong asing yang menurutnya ada kembali ke Malaysia hasil interaksi awal bersama MRM.-The Merdeka Times