Terkini
Media arus perdana didakwa berat sebelah lapor isu rumah anutan haram – Peguam kanan
- Peguam kanan yang juga Pengerusi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA), Datuk Lukman Sheriff Alias, menyifatkan sebahagian laporan media hanya mengetengahkan pandangan peguam sebelah pihak serta mengarusperdanakan “auta” berbanding fakta sebenar undang-undang.
- “Yang paling tak puas hati dengan media tempatan adalah autanya yang menyalahkan sebelah pihak yang betul dalam undang-undang. Ini amat merbahaya. Kemarahan akan lebih meluap jika yang salah pula di spin supaya mendapat ganjaran. Ini dah tak betul,” tegasnya.
KUALA LUMPUR – Peguam kanan yang juga Pengerusi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA), Datuk Lukman Sheriff Alias, mendakwa media arus perdana bersikap berat sebelah dalam melaporkan isu rumah anutan haram.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau menyifatkan sebahagian laporan media hanya mengetengahkan pandangan peguam sebelah pihak serta mengarusperdanakan “auta” berbanding fakta sebenar undang-undang.
Katanya, pendekatan sedemikian berisiko mengelirukan masyarakat dan mencetuskan kemarahan awam.
Beliau turut menyentuh dakwaan wujudnya “blackout” terhadap suara Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), sebagaimana dinyatakan pendakwah bebas Firdaus Wong.
Bagaimanapun, menurutnya, perkongsian berkaitan isu itu tetap tular di Facebook sehingga mencecah puluhan ribu perkongsian, sekali gus menunjukkan tahap kebimbangan masyarakat yang tinggi.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan naratif yang didakwa menyalahkan pihak yang berada di landasan undang-undang, sambil menegaskan bahawa pihak yang melanggar undang-undang tidak sepatutnya menerima sebarang ganjaran atau faedah.
“Yang paling tak puas hati dengan media tempatan adalah autanya yang menyalahkan sebelah pihak yang betul dalam undang-undang. Ini amat merbahaya. Kemarahan akan lebih meluap jika yang salah pula di spin supaya mendapat ganjaran. Ini dah tak betul,” tegasnya.
Jelas beliau, pengecualian hanya boleh dipertimbangkan bagi binaan bersejarah seperti yang dibina sebelum merdeka, dan bukan untuk binaan baharu yang didirikan tanpa kebenaran.
Mengulas aspek perundangan, beliau menjelaskan bahawa kegagalan pihak berkuasa bertindak sejak awal menjadi antara punca isu berlarutan.
Namun begitu, menurutnya, tuan tanah tetap mempunyai hak di sisi undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap sebarang pencerobohan di atas tanah milik mereka.
Beliau turut merujuk prinsip “occupiers’ liability”, iaitu tanggungjawab pemilik tanah terhadap sebarang kecederaan atau kerugian yang berlaku akibat binaan di atas tanahnya, termasuk struktur yang tidak sah.
Katanya, sekiranya berlaku insiden seperti runtuhan yang menyebabkan kecederaan, pemilik tanah boleh berdepan tindakan saman kerana gagal memastikan keselamatan premis.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa di bawah Kanun Tanah Negara, tiada konsep “adverse possession” yang memberikan hak milik kepada penceroboh walaupun telah menduduki sesuatu tanah untuk tempoh yang lama.
Justeru, menurutnya, pendudukan bertahun-tahun tidak secara automatik mewujudkan hak ke atas tanah tersebut.
Walaupun bertegas soal prinsip undang-undang, beliau mencadangkan penyelesaian secara baik melalui pendekatan kompromi dan tolak ansur. Antaranya termasuk memberikan tempoh munasabah untuk pemindahan, dengan mengambil kira kerugian yang ditanggung pemilik tanah.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa sekiranya terdapat usaha memutar belit undang-undang atau menuntut ganjaran atas pencerobohan, maka pelaksanaan hak yang tersedia di bawah undang-undang wajar dipertimbangkan demi memastikan keadilan dan ketertiban awam terus terpelihara.-The Merdeka Times