Connect with us

Terkini

Kerajaan wajar lantik Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu – Peguam

Published

on

Foto: Peguam, Dr Zulqarnain Lukman.
  • Peguam, Dr Zulqarnain Lukman, menyatakan adalah wajar kerajaan mempertimbangkan pelantikan individu baharu sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berikutan kontrak semasa Ketua Pesuruhjaya kini, Tan Sri Azam Baki akan berakhir tidak lama lagi serta kontroversi yang masih berlegar dalam isu pemilikan saham melibatkannya.
  • “Selain itu, Azam Baki juga dilihat mempunyai banyak kontroversi yang masih belum diperjelaskan kepada orang ramai. Saya percaya ramai lagi orang yang berbakat dan berpotensi untuk dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya.
  • Dr Zulqarnain menyifatkan penubuhan Jawatankuasa Khas Siasatan sebagai langkah yang baik dan menunjukkan kerajaan mengambil serius isu tersebut.

KUALA LUMPUR – Peguam, Dr Zulqarnain Lukman, menyatakan adalah wajar kerajaan mempertimbangkan pelantikan individu baharu sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan kontrak semasa Ketua Pesuruhjaya kini, Tan Sri Azam Baki akan berakhir tidak lama lagi serta kontroversi yang masih berlegar dalam isu pemilikan saham melibatkannya.

Menurut Dr Zulqarnain, kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM berkenaan akan tamat pada Mei nanti selepas beberapa kali disambung sejak 2023, namun apa yang lebih penting adalah sama ada kontrak itu akan disambung lagi selepas tarikh tersebut.

“Bagi saya secara peribadi adalah wajar untuk dilantik orang yang baharu sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM memandangkan kontrak Azam Baki telah diperbaharui sebanyak tiga kali setelah persaraannya. 

“Selain itu, Azam Baki juga dilihat mempunyai banyak kontroversi yang masih belum diperjelaskan kepada orang ramai. Saya percaya ramai lagi orang yang berbakat dan berpotensi untuk dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya kepada The Merdeka Times.

Dr Zulqarnain turut menegaskan kerajaan perlu memberi penjelasan jelas sama ada wujud kesalahan tatatertib perkhidmatan awam berkaitan pemilikan saham Azam Baki berkenaan dalam beberapa syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dan jika benar, tindakan wajar perlu diambil.

Katanya, kerajaan juga perlu melihat sumber kewangan pembelian saham itu sama ada ia sah atau sebaliknya, dan sekiranya bukan daripada sumber sah, pihak polis perlu membuka siasatan serta Peguam Negara membawa kes itu ke mahkamah.

Dr Zulqarnain menyifatkan penubuhan Jawatankuasa Khas Siasatan sebagai langkah yang baik dan menunjukkan kerajaan mengambil serius isu tersebut.

“Jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan oleh Peguam Negara dan dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan adalah langkah yang baik untuk menyelesaikan kemelut isu ini. 

“Ini menunjukkan pihak kerajaan juga mengambil serius isu ini dan setelah laporan selesai maka kabinet boleh menilai hal tersebut,” tegasnya. 

Beliau menambah tindakan beberapa pihak menganjurkan perhimpunan awam berkaitan isu tersebut adalah masih pra-matang pada masa ini kerana kerajaan perlu menunggu hasil siasatan Jawatankuasa Khas Siasatan sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

“Apa yang penting bagi kerajaan adalah memastikan rakyat mendapat maklumat yang telus dan dipercayai. 

“Pada masa yang sama kerajaan perlu memberikan hak kepada Azam Baki untuk didengar (right to be heard) dan memberikan penjelasan,” jelasnya. 

Dr Zulqarnain turut merujuk kepada tindakan Azam Baki sebelum ini yang pernah menyaman bekas penyelidik Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), dikenali sebagai Lalitha Kunaratnam, berkaitan isu sama pada tahun 2022 dan akhirnya diselesaikan dengan persetujuan kedua-dua pihak. 

Beliau juga menekankan usaha semasa individu itu meneruskan proses tuntutan terhadap sebuah agensi berita global, Bloomberg sebagai bukti usaha membersihkan nama.

Dr. Zulqarnain menegaskan proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM seterusnya tertakluk kepada Akta SPRM 2009 (Akta 694), di mana Seksyen 5 memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri hendaklah melantik Ketua Pesuruhjaya, namun tidak mensyaratkan proses saringan tertentu.

“Oleh itu, bagi pelantikan yang akan datang diharapkan Perdana Menteri boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk melantik orang yang selayaknya dan tidak mempunyai kontroversi. 

“Walaupun tidak salah Perdana Menteri menasihati YDPA untuk melantik individu tertentu, namun sewajarnya Perdana Menteri membuat saringan terlebih dahulu dan menubuhkan jawatankuasa bagi menasihatinya dalam proses saringan tersebut,” katanya.

Dr Zulqarnain menambah kontroversi berlegar selama ini berkaitan Azam Baki sedikit sebanyak akan menjejaskan kepercayaan ramai terhadap SPRM terutama dari aspek ketelusan yang melibatkan kes rasuah berprofil tinggi.

“Sekiranya pelantikan itu dibuat secara lebih telus maka kepercayaan rakyat akan terus meningkat terhadap komitmen kerajaan untuk membanteras amalan rasuah di dalam negara,” ujarnya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author