Terkini
Isu dana zakat : Chow tegas tiada keperluan Timbalan Menteri letak jawatan
- Semalam, Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan, mendakwa wujud unsur penyalahgunaan kuasa serta amalan pelantikan tidak adil dalam institusi-institusi di bawah seliaan Timbalan Menteri Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid,Mohamad.
- “Jika ada sebarang isu, kita mempunyai sistem pentadbiran dan proses kehakiman di negara ini. Biarlah proses itu berjalan seperti sepatutnya. Di Malaysia, orang boleh letak jawatan setiap hari. Jika kita ikut pendekatan itu, maka setiap hari media hanya sibuk melaporkan peletakan jawatan,” – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow
GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menolak gesaan supaya Timbalannya, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, berundur sementara daripada jawatan susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan penyalahgunaan dana zakat.
Chow menegaskan bahawa kerajaan negeri akan memberi ruang sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan tanpa sebarang campur tangan, sambil menyifatkan desakan agar mana-mana pihak meletakkan jawatan ketika ini sebagai terlalu awal dan tidak wajar.
“Tidak perlu sesiapa pun berundur buat masa ini. Biarkan SPRM menjalankan siasatan mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut beliau, Malaysia mempunyai sistem tadbir urus dan keadilan yang jelas untuk menangani sebarang salah laku sekiranya ia terbukti berlaku, justeru semua pihak perlu menghormati proses tersebut.
“Jika ada sebarang isu, kita mempunyai sistem pentadbiran dan proses kehakiman di negara ini. Biarlah proses itu berjalan seperti sepatutnya.
“Di Malaysia, orang boleh letak jawatan setiap hari. Jika kita ikut pendekatan itu, maka setiap hari media hanya sibuk melaporkan peletakan jawatan,” katanya lagi.
Semalam, Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan, mendakwa wujud unsur penyalahgunaan kuasa serta amalan pelantikan tidak adil dalam institusi-institusi di bawah seliaan Mohamad.
Beliau berkata, isu tersebut bukan sekadar bersifat pentadbiran, sebaliknya melibatkan amanah awam serta pengurusan dana zakat dan wakaf yang bernilai jutaan ringgit.
Sehubungan itu, PAS menggesa Mohamad supaya berundur daripada semua jawatan berkaitan pentadbiran dan kepimpinan institusi agama Islam bagi memulihkan keyakinan awam serta memastikan siasatan dapat dijalankan secara telus tanpa sebarang pengaruh politik.
“Institusi Islam tidak boleh dijadikan alat untuk kepentingan peribadi atau politik,” kata Fawwaz seperti dipetik.
Sementara itu, Mohamad Abdul Hamid dilaporkan enggan memberikan komen peribadi berhubung perkara tersebut, namun menegaskan kesediaannya untuk memberi kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang siasatan dijalankan.-The Merdeka Times