Connect with us

Terkini

Ganti rugi fitnah Abu Syafiq terhadap KJ dikurangkan kepada RM830,000

Published

on

Foto: Mohd Rasyiq Mohd. Alwi (kiri) dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (kanan).
  • Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar oleh pendakwah bebas, Abu Syafiq kepada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin daripada RM2.5 juta kepada RM830,000 berhubung kes fitnah.
  • Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan difailkan Abu Syafiq atau nama sebenarnya Mohd Rasyiq Mohd. Alwi, 46, yang memfokuskan kepada kuantum ganti rugi diputuskan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.
  • Menurut Mohamed Zaini, ganti rugi am bertujuan memberi pampasan dan bukannya untuk memperkayakan mana-mana pihak, selain menyatakan era pemberian ganti rugi berjuta-juta ringgit sudah berlalu.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar oleh pendakwah bebas, Abu Syafiq kepada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin daripada RM2.5 juta kepada RM830,000 berhubung kes fitnah.

Menerusi laporan Sinar Harian, panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan difailkan Abu Syafiq atau nama sebenarnya Mohd Rasyiq Mohd. Alwi, 46, yang memfokuskan kepada kuantum ganti rugi diputuskan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Menurut Mohamed Zaini, Mahkamah Tinggi pada asalnya menganugerahkan ganti rugi am sebanyak RM2 juta, namun jumlah tersebut disifatkan sebagai berlebihan dan wajar dikurangkan kepada RM500,000.

“Ganti rugi teruk sebanyak RM250,000 dikekalkan memandangkan kenyataan fitnah itu serius serta berpotensi memberi impak kepada orang awam ketika pandemik Covid-19.

“Bagi ganti rugi teladan pula, jumlah tersebut dikurangkan daripada RM250,000 kepada RM80,000.

“Sehubungan itu, jumlah keseluruhan ganti rugi yang perlu dibayar kepada Khairy selaku responden ialah RM830,000,” katanya dalam keputusan sebulat suara yang turut disertai Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahril Mohd. Salleh.

Mahkamah turut bersetuju bahawa kenyataan fitnah berkenaan adalah serius kerana membayangkan unsur ketidakjujuran, penipuan dan pemalsuan rekod vaksinasi terhadap Khairy yang ketika itu menerajui Kementerian Kesihatan.

Panel berkenaan mendapati terdapat lapan penerbitan berbeza dan responden berhak menerima ganti rugi bagi setiap penerbitan. Bagaimanapun, dalam menilai kuantum, mahkamah berpandangan beberapa faktor memerlukan pelarasan rapi.

Menurut Mohamed Zaini, ganti rugi am bertujuan memberi pampasan dan bukannya untuk memperkayakan mana-mana pihak, selain menyatakan era pemberian ganti rugi berjuta-juta ringgit sudah berlalu.

Mahkamah turut menegaskan bahawa perayu yang menonjolkan diri sebagai pendakwah agama memikul tanggungjawab moral lebih tinggi dalam membuat kenyataan awam.

“Kepercayaan dan penghormatan masyarakat terhadap individu bergelar agama tidak boleh disalahgunakan dengan menerbitkan dakwaan tidak disahkan, palsu dan memfitnah,” katanya.

Pada 18 April 2025, Mahkamah Tinggi memerintahkan Abu Syafiq membayar RM2.5 juta kepada Khairy selepas membenarkan saman fitnah difailkan oleh bekas Ahli Parlimen Rembau itu.

Saman tersebut difailkan pada 25 Januari 2022 susulan beberapa hantaran dalam talian antara 20 Oktober 2021 hingga 10 Januari 2022 berkaitan program vaksinasi Covid-19 kerajaan.

Dalam perkembangan berkaitan, kes saman terhadap bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, sebelum ini diselesaikan secara baik pada 15 April 2024 apabila beliau bersetuju memohon maaf serta membayar pampasan kepada Khairy. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author