Connect with us

Terkini

Datuk Bandar dipilih berisiko dipengaruhi pelobi – Pakar Perlembagaan

Published

on

Foto: Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.
  • Menurut Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain pemilihan Datuk Bandar DBKL juga membuka ruang kepada persaingan politik terbuka yang membenarkan calon-calon yang tidak semestinya komited kepada dasar kerajaan pusat dan nilai kenegaraan untuk bertanding dan memegang kuasa pentadbiran bandar raya.
  • “Tidak mustahil amalan tajaan kempen oleh kumpulan pelobi berkepentingan akan menjadi budaya baharu. Risiko utamanya ialah kumpulan pelobi ini berupaya mempengaruhi keputusan Datuk Bandar walaupun beliau dipilih oleh pengundi tempatan Kuala Lumpur,” katanya sewaktu dihubungi The Merdeka Times.

KUALA LUMPUR – Cadangan mengubah kaedah pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur kepada pemilihan melalui pilihan raya bukan sekadar perubahan teknikal kecil, sebaliknya berpotensi membawa kesan besar terhadap struktur kuasa, autonomi dan tadbir urus Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), menurut Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.

Beliau berpandangan, Datuk Bandar yang dipilih melalui pilihan raya sudah pasti akan diberikan autonomi serta tanggungjawab yang lebih besar berbanding kedudukan sedia ada, sekaligus mewujudkan cabaran baharu dalam memastikan kesetiaan kepada aspirasi negara, ketelusan dasar serta kelangsungan sistem pentadbiran persekutuan.

Menurut Wan Ahmad Fauzi, pemilihan Datuk Bandar DBKL juga membuka ruang kepada persaingan politik terbuka yang membenarkan calon-calon yang tidak semestinya komited kepada dasar kerajaan pusat dan nilai kenegaraan untuk bertanding dan memegang kuasa pentadbiran bandar raya.

“Tidak mustahil amalan tajaan kempen oleh kumpulan pelobi berkepentingan akan menjadi budaya baharu. Risiko utamanya ialah kumpulan pelobi ini berupaya mempengaruhi keputusan Datuk Bandar walaupun beliau dipilih oleh pengundi tempatan Kuala Lumpur,” katanya sewaktu dihubungi The Merdeka Times.

Mengulas dari sudut sistem kenegaraan, beliau menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan Malaysia berpaksikan kepada kedaulatan Raja-Raja dan keluhuran perlembagaan, di mana rakyat memilih wakil melalui pilihan raya umum, bukan pelaksana fungsi kuasa eksekutif secara langsung.

Katanya, kuasa memperkenankan undang-undang terletak pada Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah berdaulat, manakala fungsi eksekutif dilaksanakan oleh Jemaah Menteri yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri serta pihak yang diberi kuasa di bawah undang-undang Persekutuan.

Beliau menjelaskan, amalan demokrasi berperlembagaan di Malaysia tidak bersifat mutlak seperti di Amerika Syarikat atau sistem Westminster yang meletakkan kedaulatan sepenuhnya kepada Parlimen, sebaliknya direka untuk memastikan kelangsungan pentadbiran eksekutif awam berjalan selaras dengan kerangka perlembagaan dan statut sedia ada.

Dalam konteks Kuala Lumpur, Wan Ahmad Fauzi menegaskan bahawa Wilayah Persekutuan itu sudah mempunyai wakil rakyat yang dipilih ke Parlimen, selaras dengan prinsip demokrasi berperlembagaan, sekali gus menimbulkan persoalan keperluan mendesak untuk mewujudkan satu lagi lapisan mandat politik melalui pilihan raya Datuk Bandar.

Beliau turut mengingatkan bahawa pembangunan ibu kota tidak bergantung kepada sumber tempatan semata-mata, sebaliknya melibatkan hubungan berantai dengan pelbagai pihak serta kepentingan nasional, termasuk keperluan memelihara jati diri dan identiti negara bangsa Malaysia.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan kecekapan pengurusan DBKL melalui pelantikan pegawai kanan berintegriti, pengurusan perolehan yang lebih telus, pembentukan wajah Kuala Lumpur berteraskan identiti nasional, pengawalan harga dan kadar sewa, penyediaan perumahan mampu milik serta pemerkasaan ekonomi kumpulan B40 dan peniaga bumiputera demi menjamin keharmonian antara kaum dan semangat hubbul watan.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author