Terkini
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad meninggal dunia
- Perkhabaran duka itu dimaklumkan Ketua Penerangan PAS Selangor, Dr. Yusfarizal Yussoff menerusi satu hantaran di Facebook yang menzahirkan rasa sedih atas pemergian Allahyarham.
- Allahyarham Tun Abdul Hamid dikenali sebagai tokoh kehakiman yang tegas dalam prinsip serta lantang dalam memberikan pandangan berhubung isu perundangan dan perlembagaan negara, termasuk selepas bersara daripada jawatan tertinggi badan kehakiman.
KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, dilaporkan meninggal dunia hari ini, sekaligus meninggalkan kehilangan besar kepada institusi kehakiman negara.
Perkhabaran duka itu dimaklumkan Ketua Penerangan PAS Selangor, Dr. Yusfarizal Yussoff menerusi satu hantaran di Facebook yang menzahirkan rasa sedih atas pemergian Allahyarham.
Menurut beliau, jasa Allahyarham dalam mempertahankan keluhuran undang-undang amat besar kepada sistem kehakiman negara, khususnya dalam memastikan prinsip kedaulatan undang-undang terus dipelihara.
“Lewat usia persaraannya, beliau masih tetap menulis dan mengupas tentang isu undang-undang, sehinggakan tulisannya sering kita nanti-nantikan,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Allahyarham Tun Abdul Hamid dikenali sebagai tokoh kehakiman yang tegas dalam prinsip serta lantang dalam memberikan pandangan berhubung isu perundangan dan perlembagaan negara, termasuk selepas bersara daripada jawatan tertinggi badan kehakiman.
Sepanjang perkhidmatannya, beliau memainkan peranan penting dalam memperkukuh integriti institusi kehakiman serta mempertahankan tafsiran undang-undang berasaskan Perlembagaan Persekutuan.
Selepas persaraan, Allahyarham terus aktif menyumbang pandangan melalui penulisan dan forum awam, sekali gus menjadikan beliau antara bekas hakim yang masih berpengaruh dalam wacana perundangan negara.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang soleh.
Salam takziah turut diucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham atas kehilangan insan yang telah banyak berjasa kepada negara dalam bidang kehakiman.-The Merdeka Times