Terkini
Arahan sekat perhimpunan GARAH tidak sah, Haniff pertimbang tindakan sivil terhadap KPN, Menteri dan Kerajaan
- “Saya akan beritahu kepada mahkamah bahawa arahan untuk menghalang perhimpunan malam tadi (Sabtu), arahan untuk menahan kami, tangkap kami, serta apa-apa tindakan lanjut untuk menuduh kami di mahkamah jika ada, adalah penyalahgunaan kuasa kerana ia berlanggaran dengan perlembagaan dan kedaulatan,” – Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla
- Haniff turut menegaskan bahawa pihaknya akan mengambil tindakan sivil dan tindakan pentadbiran terhadap pihak berkuasa yang terlibat, termasuk Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Kerajaan Malaysia, berhubung dakwaan penahanan salah serta penyalahgunaan kuasa.
KUALA LUMPUR — Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla mendakwa arahan menghalang perhimpunan serta penahanan yang berlaku baru-baru ini dalam himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) sebagai satu bentuk penyalahgunaan kuasa yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip kedaulatan undang-undang.
Dalam kenyataannya, beliau berkata akan memaklumkan kepada mahkamah bahawa arahan untuk menyekat perhimpunan, melakukan tangkapan serta sebarang pendakwaan susulan adalah tidak berperlembagaan sekiranya tidak selari dengan hak asasi yang dijamin.
“Saya akan beritahu kepada mahkamah bahawa arahan untuk menghalang perhimpunan malam tadi (Sabtu), arahan untuk menahan kami, tangkap kami, serta apa-apa tindakan lanjut untuk menuduh kami di mahkamah jika ada, adalah penyalahgunaan puasa kerana ia berlanggaran dengan perlembagaan dan kedaulatan,” ujarnya.
Haniff turut menegaskan bahawa pihaknya akan mengambil tindakan sivil dan tindakan pentadbiran terhadap pihak berkuasa yang terlibat, termasuk Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Kerajaan Malaysia, berhubung dakwaan penahanan salah serta penyalahgunaan kuasa.
Menurutnya, pasukan peguam akan dilantik untuk mewakili semua individu yang terlibat sekiranya kes berkenaan diteruskan.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan perkara tersebut sebagai urusan lanjut yang akan ditentukan mengikut proses undang-undang.
Beliau turut menekankan bahawa isu berkenaan bukan bersifat peribadi, sebaliknya menyentuh hak rakyat Malaysia yang menyertai gerakan tersebut.
Mengulas kenyataan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar, Haniff menyifatkannya sebagai tepat dan berprinsip kerana mempertahankan hak rakyat tanpa bersifat peribadi.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa lebih ramai pihak akan tampil menyokong usaha undang-undang yang bakal diambil, selain menyeru agar semua pihak bersabar menunggu perkembangan seterusnya.-The Merdeka Times