Terkini
Warga China didakwa rasuah pegawai JAS RM50,000
- Tertuduh, Jiang Fanjun, 43, warga China, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
- Mengikut pertuduhan, Jiang didakwa secara rasuah memberikan suapan berupa wang tunai RM50,000 kepada seorang lelaki yang bertugas sebagai Pegawai Kawalan Alam Sekitar di Jabatan Alam Sekitar (JAS).
- Suapan itu didakwa sebagai dorongan supaya pegawai berkenaan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang lelaki tempatan yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
SEREMBAN – Seorang bekas ahli lembaga sebuah syarikat kilang memproses barangan elektronik terpakai (e-waste) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi suapan wang tunai berjumlah RM50,000 kepada seorang penjawat awam, tahun lalu.
Memetik laporan akhbar Kosmo!, tertuduh, Jiang Fanjun, 43, warga China, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Mengikut pertuduhan, Jiang didakwa secara rasuah memberikan suapan berupa wang tunai RM50,000 kepada seorang lelaki yang bertugas sebagai Pegawai Kawalan Alam Sekitar di Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Suapan itu didakwa sebagai dorongan supaya pegawai berkenaan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang lelaki tempatan yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Kesalahan tersebut melibatkan kegagalan memiliki lesen premis yang ditetapkan, tiada kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah, tiada kelulusan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) serta melanggar larangan menempatkan buangan terjadual di premis yang tidak ditetapkan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 1 tengah hari di Jalan Zamrud, Kawasan Perindustrian Nilai, pada 12 Februari 2025.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) dibaca bersama Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin warga Malaysia serta tertakluk kepada syarat tambahan. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 6 Mac depan bagi serahan dokumen. -The Merdeka Times