Terkini
Ujian diagnostik murid Tahun Satu tidak dilaksanakan – PM
- Kerajaan bersetuju ujian diagnostik ditiadakan bagi kemasukan murid ke tahun satu pada usia enam tahun bagi mengelak kanak-kanak tercicir daripada sistem persekolahan dan mengalami kerugian pembelajaran sehingga setahun.
- “Saya ingin tekankan, cadangan supaya ditiadakan adalah baik kerana ia nanti menjadi diskriminatif iaitu seseorang kanak-kanak masuk darjah satu dan masuk prasekolah kerana layak dan seorang yang lain kurang cerdik dan sebagainya tidak layak, mungkin ada kesan psikologi,” jelas beliau.
KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk tidak melaksanakan ujian diagnostik khas kemasukan ke Darjah Satu bagi murid enam tahun bagi mengelakkan kesan diskriminasi dan tekanan psikologi terhadap kanak-kanak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun cadangan awal pelaksanaan ujian diagnostik itu mempunyai kebaikan sebagai satu sistem penilaian sebelum kanak-kanak memasuki alam persekolahan, kerajaan mengambil kira kemungkinan kesan negatif terhadap perkembangan emosi dan keyakinan murid.
“Setelah diteliti semula, Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) mencadangkan supaya ditiadakan ujian diagnostik itu, tapi saya nak tekankan di sini, cadangan awal itu baik sebab ada satu sistem penilaian sebelum anak itu masuk ke sekolah.
“Tetapi difikirkan nanti dia jadi diskriminatif, maknanya ada anak ini masuk Darjah 1 atau prasekolah, dia tak layak, dia kurang cerdik dan sebagainya, jadi mungkin ada kesan psikologi, oleh itu ditiadakan, jelas, itu adalah cadangan Menteri, dan saya setuju supaya ditiadakan dan dipermudahkan,” katanya katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Syed Saddiq Syed Rahman (MUDA-Muar) mengenai kebimbangan nasib murid yang tidak melepasi kelayakan ujian diagnostik hingga mereka akan keciciran pembelajaran.
Menurut Anwar, ketiadaan ujian itu tidak bermakna aspek pemantauan diketepikan, beliau menegaskan tanggungjawab guru dan ibu bapa perlu diperkukuhkan bagi memantau kelayakan serta perkembangan anak-anak.
“Saya fikir oleh kerana dimulakan melalui prasekolah, ada kebijaksanaannya kerana ia memberi ruang kepada kita untuk satu tahun menilai.
“Begitu juga tentang ujian. Ujian bila Darjah 4. Kita sebut ujian, tetapi maksudnya ada satu sistem penilaian kecil di situ. Itu membolehkan kita bersedia dan ada dua tahun untuk memperbaiki sebelum masuk Tingkatan 1,” jelasnya.
Anwar mengakui setiap cadangan berkaitan sistem pendidikan sering mengundang kontroversi, namun menegaskan kerajaan perlu membuat keputusan terbaik berdasarkan keperluan semasa.
Beliau menegaskan pendidikan negara perlu bersifat dinamik dan fleksibel serta memerlukan sokongan masyarakat dan ibu bapa bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar.
“Biasalah dalam apa juga cadangan, dia memang mengundang sedikit kontroversi, kalau ambil peperiksaan Darjah 3 pun salah, Darjah 4 pun salah, Darjah 6 pun salah. Tak buat langsung pun salah. Jadi kita putuskan buat Darjah 4 dan kemudian kita lihat keberkesanannya.
“Pendidikan ini harus dinamik, saya setuju, iaitu harus ada penilaian berterusan, tapi peringkat awal inilah cadangan dan saya fikir masyarakat, ibu bapa beri ruang. Kita cuba dengan sebaik mungkin,” ujarnya. – The Merdeka Times