Terkini
Tuntutan hak: Sarawak boleh contohi Singapura jika perlu – Peter John
- Pengasas Saya Anak Sarawak, Peter John Jaban, berkata sekiranya “perkahwinan” antara Sarawak, Sabah dan Malaya dalam pembentukan Malaysia tidak lagi berfungsi dengan baik, maka perpisahan secara baik dan beradab wajar dipertimbangkan.
- Menurut beliau, tiada apa-apa yang salah, melampau atau tidak munasabah apabila Sarawak menuntut hak serta jaminan yang telah dijanjikan semasa pembentukan Malaysia.
- Peter John berkata, sejak berdekad lalu, banyak janji kepada Sarawak dan Sabah telah ditangguhkan, dikurangkan atau tidak dilaksanakan sepenuhnya.
KUCHING – Sarawak berpotensi mencontohi pendekatan Singapura sekiranya keadaan memerlukan, dengan menegaskan hak-haknya secara aman, berperlembagaan dan demi kepentingan rakyat negeri ini.
Memetik laporan DayakDaily, pengasas Saya Anak Sarawak, Peter John Jaban, berkata sekiranya “perkahwinan” antara Sarawak, Sabah dan Malaya dalam pembentukan Malaysia tidak lagi berfungsi dengan baik, maka perpisahan secara baik dan beradab wajar dipertimbangkan.
Menurut beliau, tiada apa-apa yang salah, melampau atau tidak munasabah apabila Sarawak menuntut hak serta jaminan yang telah dijanjikan semasa pembentukan Malaysia.
“Tuntutan ini bukan baharu dan bukan juga satu bentuk pemberontakan. Ia adalah hak perlembagaan serta janji yang dimeterai secara sah ketika Malaysia ditubuhkan, yang kekal sah dari segi undang-undang dan mengikat dari segi moral,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menyokong kenyataan Menteri Kerja Raya, merangkap Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang berpandangan bahawa pertelingkahan politik berpanjangan di Semenanjung Malaysia mungkin menandakan Sarawak dan wilayah lain “tidak pernah ditakdirkan untuk menjadi satu negara”, dipisahkan oleh Laut China Selatan atas sebab tertentu.
Peter John berkata, sejak berdekad lalu, banyak janji kepada Sarawak dan Sabah telah ditangguhkan, dikurangkan atau tidak dilaksanakan sepenuhnya.
“Sarawak memilih kesabaran, mengutamakan dialog dan kekal komited kepada Persekutuan walaupun berhadapan pelbagai penangguhan.
“Penegasan terhadap hak-hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan satu bentuk pencerobohan, sebaliknya pembetulan yang telah lama tertangguh terhadap ketidakseimbangan sejarah,” katanya.
Beliau menyifatkan reaksi sesetengah tokoh politik dan penyokong di Semenanjung Malaysia terhadap tuntutan Sarawak sebagai membimbangkan apabila ia disertai sikap defensif, radikalisasi dan tuduhan tidak setia.
“Keadaan ini membuktikan kebimbangan bahawa wacana perlembagaan yang sah telah tenggelam akibat politik identiti.
“Tuntutan Sarawak berteraskan undang-undang, sejarah dan semangat perkongsian. Ia berkaitan keadilan, maruah dan saling menghormati, bukan soal pemisahan atau keunggulan,” katanya.
Beliau menegaskan, perpaduan sejati tidak boleh dibina atas dasar membisu atau tunduk, sebaliknya melalui penghormatan terhadap perjanjian dan pengiktirafan kedudukan rakan setara dalam Persekutuan.
Katanya, ketegangan mula memuncak apabila Sarawak semakin tegas menuntut hak perlembagaannya di bawah MA63, termasuk isu autonomi, pengurusan sumber yang adil dan perkongsian kuasa yang saksama.
“Tuntutan sah ini sering disalah tafsir sebagai ancaman, malah ada yang mempertikaikan kesetiaan Sarawak, didorong oleh naratif perkauman dan keagamaan,” katanya.
Peter John berkata, rakyat Sarawak dan Sabah kini semakin tidak selesa apabila diheret ke dalam ketegangan politik dan ideologi yang tidak mereka cipta.
“Sentimen ini bukan berpunca daripada kebencian atau ketidaksetiaan, sebaliknya keinginan untuk mempertahankan keharmonian, maruah dan kestabilan yang telah dipelihara sejak sekian lama,” katanya.
Beliau memberi amaran bahawa sekiranya isu-isu asas ini terus diabaikan, lebih ramai rakyat Sarawak akan menilai semula kedudukan dan masa depan mereka dalam Persekutuan Malaysia. – The Merdeka Times