Terkini
Tubuh Jawatankuasa Tindakan Khas Kabinet tangani ‘rumah ibadat haram’
- Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional AMANAH, Wan Anwar Wan Ibrahim tegaskan Parlimen seharusnya menjadi medan merangka dasar yang menenangkan dan melindungi keharmonian negara, bukannya tempat mempolitikkan kebimbangan rakyat atau meniup sentimen perkauman.
- Isu status tanah, kelulusan pembinaan serta bidang kuasa pihak berkuasa tempatan dan institusi agama tidak boleh diselesaikan melalui retorik atau sentimen apatah lagi dengan meniup api perkauman,” katanya
KUALA LUMPUR – Kerajaan MADANI digesa supaya segera menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas peringkat Kabinet bagi menangani secara menyeluruh isu pembinaan rumah ibadat yang tidak mematuhi undang-undang, agar perkara sensitif itu tidak terus diperalatkan sehingga mencetuskan ketegangan kaum dan kegusaran awam.
Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (AMANAH), Wan Anwar Wan Ibrahim, berkata cadangan itu dibuat susulan perdebatan yang berlaku di Dewan Rakyat baru-baru ini melibatkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, dan Ahli Parlimen Jelutong, R. S. N. Rayer, berhubung isu pembinaan rumah ibadat yang tidak mematuhi undang-undang.
“Sebagai rakyat Malaysia yang menjunjung prinsip Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, saya menyokong sepenuhnya usaha untuk menuntaskan isu ini berteraskan perundangan, berfakta dan berhemah.
“Isu status tanah, kelulusan pembinaan serta bidang kuasa pihak berkuasa tempatan dan institusi agama tidak boleh diselesaikan melalui retorik atau sentimen apatah lagi dengan meniup api perkauman,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berpandangan bahawa cara isu ini dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas bukanlah untuk mencari penyelesaian menyeluruh, sebaliknya berisiko menjarakkan hubungan antara kaum dan mencetuskan kegusaran awam.
Wan Anwar menegaskan Parlimen seharusnya menjadi medan merangka dasar yang menenangkan dan melindungi keharmonian negara, bukannya tempat mempolitikkan kebimbangan rakyat atau meniup sentimen perkauman.
“Dalam masa yang sama, saya juga berpendirian bahawa semua pemimpin tanpa mengira latar agama atau kaum mempunyai tanggungjawab mendisiplinkan komuniti masing-masing agar mematuhi undang-undang.
“Sebarang pembelaan terhadap binaan rumah ibadat yang tidak patuh peraturan hanya akan memanjangkan polemik dan menghakis kepercayaan terhadap institusi negara,” jelasnya.
Beliau turut mengaitkan tragedi di Kuil Sri Maha Mariamman di Seafiled yang mengorbankan Muhammad Adib Mohd Kassim harus menjadi peringatan dan menjadi titik hitam negara bahawa kegagalan mengurus isu pentadbiran dengan baik boleh membawa akibat yang amat tragis.
Mengulas lanjut, Wan Anwar berkata sejarah membuktikan bahawa masjid dan surau juga pernah dirobohkan atau dipindahkan atas faktor undang-undang, termasuk kerana dibina di atas tanah kerajaan atau tanpa kelulusan.
“Keputusan tegas pernah dibuat kerajaan, dan majoriti umat Islam akhirnya menerima hakikat tersebut dengan hati terbuka demi menghormati kedaulatan undang-undang. Prinsip yang sama mesti diterapkan secara konsisten dan adil kepada semua rumah ibadat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar kerajaan segera menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas peringkat Kabinet bagi menangani isu pembinaan rumah ibadat tidak patuh undang-undang secara menyeluruh.
“Jawatankuasa ini perlu menetapkan kerangka nasional yang jelas, merangkumi klasifikasi kes, pilihan penyelesaian sebelum penguatkuasaan, mekanisme mediasi serta disiplin komunikasi agar isu pentadbiran tidak terus diperalatkan menjadi konflik perkauman,” tegasnya.
Menurut beliau, Parti Amanah Negara kekal berpendirian bahawa keharmonian negara hanya dapat dipelihara melalui keadilan undang-undang, konsistensi dasar dan kematangan politik.
“Kita tidak boleh membiarkan isu sensitif ini terus dijadikan modal politik sempit yang akhirnya merugikan rakyat dan negara.
“Malaysia memerlukan kepimpinan yang menenangkan dan bukannya menghasut; menyatukan, bukan memecah-belahkan sehingga berisiko kepada perpaduan negara. Komitmen untuk menyelesaikan isu ini berpaksikan undang-undang adalah tanggungjawab bersama,” ujarnya. – The Merdeka Times