Terkini
Tokong, perniagaan Cina & sekolah Katolik dicadang warisan kebangsaan, IRIS bimbang identiti Kajang
- Antara bangunan yang dicadangkan untuk dipelihara sebagai warisan ketara termasuk Tokong Shen Sze She Yar, Sekolah Kebangsaan Convent Kajang, Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Kajang, Kedai Biskut Soon Fatt, Kedai Biskut Xin Kwong Sang Woh, Kedai Ubat Kwong Chai Tong dan Kedai Kopi Chop Tong Sing.
- Menurut IRIS Institute, cadangan tersebut berisiko membentuk identiti bandar yang terlalu tertumpu kepada satu etnik, iaitu identiti Cina.
KUALA LUMPUR– Knowledge Management Center (KMC), IRIS Institute menyatakan kebimbangan mengenai cadangan menjadikan tokong, perniagaan tradisional Cina dan dua sekolah Katolik sebagai sebahagian daripada warisan kebangsaan di Pusat Bandar Kajang.
Menurut IRIS Institute, cadangan tersebut berisiko membentuk identiti bandar yang terlalu tertumpu kepada satu etnik, iaitu identiti Cina.
Pusat Bandar Kajang sebelum ini dipilih oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk dibangunkan di bawah Rancangan Kawasan Khas (RKK), iaitu satu pelan tindakan terperinci bagi tujuan pembangunan semula, pemuliharaan, penambahbaikan serta pengurusan kawasan bandar secara bersasar.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Nazli Md Taib, dilaporkan berkata bahawa pemilihan Kajang sebagai kawasan RKK menjadikan bandar itu antara tumpuan utama perancangan bandar yang lebih terperinci, dengan draf RKK menggariskan 44 projek cadangan merangkumi lima zon tindakan dan tiga sektor pengkhususan.
Projek-projek tersebut melibatkan aspek pengangkutan, ekonomi, warisan, ruang awam dan kelestarian, dan dirancang untuk dilaksanakan secara berfasa dengan pembiayaan Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tahun 2025, melibatkan kos sekitar RM650,000.
Berdasarkan Draf Rancangan Kawasan Khas Pusat Bandar Kajang, pemuliharaan warisan dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu Warisan Ketara dan Warisan Tidak Ketara, walaupun pada masa ini tiada bangunan di Pusat Bandar Kajang yang diwartakan secara rasmi sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).
Antara bangunan yang dicadangkan untuk dipelihara sebagai warisan ketara termasuk Tokong Shen Sze She Yar, Sekolah Kebangsaan Convent Kajang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Kajang, yang menurut Akta 645 merujuk kepada warisan budaya berbentuk fizikal seperti bangunan dan struktur yang mempunyai nilai sejarah atau seni bina.
Bagi kategori warisan tidak ketara pula, beberapa perniagaan tradisional Cina seperti Kedai Biskut Soon Fatt, Kedai Biskut Xin Kwong Sang Woh, Kedai Ubat Kwong Chai Tong dan Kedai Kopi Chop Tong Sing disenaraikan sebagai perniagaan warisan kerana aktiviti sosioekonomi dan makanan tradisi yang telah diwarisi oleh beberapa generasi.
Dalam masa sama, cadangan mempromosikan Kajang sebagai bandar warisan dilihat selari dengan usaha menarik pelancong sempena Tahun Melawat Selangor 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, sebelum ini menyatakan bahawa Kajang memiliki banyak bangunan bersejarah berusia lebih 100 tahun.Namun, IRIS Institute menegaskan bahawa perkembangan ini perlu dibaca selaras dengan Trend 19 dalam Laporan Strategik Kuasa Nasional Malaysia 2024–2025, iaitu peningkatan usaha mengangkat identiti Cina sebagai warisan dan kebudayaan negara, yang menurutnya memerlukan pendekatan seimbang agar pemeliharaan warisan tidak membentuk persepsi penguasaan identiti satu kaum ke atas ruang bandar bersejarah.-The Merdeka Times