Connect with us

Terkini

Tok Mat: ‘Jangan sekali-kali cabar garis merah – hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera’

Published

on

Foto: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan
  • “Kerjasama politik sama ada dalam Kerajaan Perpaduan hari ini mahupun bentuk pakatan masa depan bukanlah tiket percuma untuk mana-mana pihak untuk melunakkan prinsip asal kita.” – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan
  • Beliau mengingatkan rakan-rakan politik yang datang daripada ideologi berbeza supaya menghormati dan memahami sensitiviti tersebut, serta tidak mempertikaikan perkara yang telah dipersetujui sejak awal pembentukan negara.
  • “Rakan-rakan politik, terutamanya dari ideologi yang berbeza perlu faham bahawa menyentuh atau mempertikaikan hak istimewa ini adalah satu pengisytiharan perang terhadap nurani orang Melayu,” ujarnya. 

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa sebarang bentuk kerjasama politik sama ada dalam Kerajaan Perpaduan mahupun pakatan masa depan tidak boleh dijadikan alasan untuk melonggarkan prinsip asas perjuangan parti itu, khususnya berkaitan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera.

Beliau berkata, hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera merupakan garis merah yang tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak kerana ia adalah asas kepada pembentukan negara dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kerjasama politik sama ada dalam Kerajaan Perpaduan hari ini mahupun bentuk pakatan masa depan bukanlah tiket percuma untuk mana-mana pihak untuk melunakkan prinsip asal kita.

“Jangan sekali-kali cabar garis merah, “the red line” yang saya akan sebutkan ini. Nombor satu, hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera. Saudara saya sekalian, ini bukan isu rasis. Ini adalah asas Perlembagaan dan kontrak sosial yang telah membina negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno sempena Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini semalam.

Beliau turut menegaskan bahawa UMNO tidak pernah dibentuk untuk bersikap apologetik dalam mempertahankan hak bangsa Melayu dan kepentingan Bumiputera.

Tambah beliau, UMNO perlu menyampaikan mesej yang jelas, tegas dan tidak berkompromi kepada mana-mana pihak, khususnya kelompok berhaluan kiri, golongan liberal serta sekutu politik yang cuba mengambil kesempatan dalam situasi politik semasa.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakan-rakan politik yang datang daripada ideologi berbeza supaya menghormati dan memahami sensitiviti tersebut, serta tidak mempertikaikan perkara yang telah dipersetujui sejak awal pembentukan negara.

“Rakan-rakan politik, terutamanya dari ideologi yang berbeza perlu faham bahawa menyentuh atau mempertikaikan hak istimewa ini adalah satu pengisytiharan perang terhadap nurani orang Melayu,” ujarnya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author