Terkini
Sokong Sultan Selangor, MCW desak semak kelulusan EIA projek ternakan babi
- Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata pihaknya memandang serius apabila Sultan Selangor turut membangkitkan persoalan kemungkinan wujud unsur rasuah, konflik kepentingan atau kegagalan tadbir urus dalam proses perancangan serta kelulusan projek berkenaan.
- “MCW tidak membuat tuduhan menyeluruh terhadap Jabatan Alam Sekitar (JAS). Namun, sekiranya masalah pencemaran bau, air dan kesihatan awam yang dilaporkan sejak 2010 masih gagal diselesaikan, maka sebarang kelulusan baharu, sama ada bersifat sementara atau kekal, adalah wajar dipersoalkan dari sudut integriti dan tadbir urus,” tegasnya.
KUALA LUMPUR — Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mengambil maklum dengan serius kenyataan tegas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan kekecewaan dan kebimbangan terhadap keputusan membenarkan projek penternakan babi berskala besar di Kuala Langat serta cadangan pemindahannya ke Bukit Tagar, susulan isu yang didakwa memberi kesan besar kepada alam sekitar dan kesihatan awam.
Dalam kenyataan media, Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata pihaknya memandang serius apabila Sultan Selangor turut membangkitkan persoalan kemungkinan wujud unsur rasuah, konflik kepentingan atau kegagalan tadbir urus dalam proses perancangan serta kelulusan projek berkenaan.
Namun yang lebih membimbangkan, menurut MCW, ialah apabila masalah pencemaran bau, air dan kesihatan awam yang dilaporkan sejak 2010 masih gagal diselesaikan secara tuntas.
MCW menegaskan pihaknya tidak membuat tuduhan menyeluruh terhadap Jabatan Alam Sekitar (JAS), tetapi jika isu pencemaran berlarutan lebih sedekad masih tidak selesai, maka sebarang kelulusan baharu, sama ada bersifat sementara atau kekal, wajar dipersoalkan dari sudut integriti dan tadbir urus.
Menurut MCW, Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) merupakan instrumen teknikal penting di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, namun risiko salah guna kuasa atau rasuah jarang berlaku secara langsung pada dokumen EIA semata-mata.
“Berdasarkan pengalaman tadbir urus, risiko rasuah jarang berlaku secara langsung pada dokumen EIA, sebaliknya wujud dalam keseluruhan proses kelulusan termasuk pelantikan perunding, penentuan skop kajian, ketelusan data, kelulusan bersyarat tanpa penguatkuasaan berkesan, serta pengaruh politik atau kepentingan ekonomi,” tegasnya.
Sehubungan itu, MCW menggesa beberapa tindakan segera termasuk audit integriti dan tadbir urus bebas terhadap keseluruhan rantaian kelulusan projek, selain menuntut pendedahan awam penuh laporan EIA, pelan mitigasi dan rekod penguatkuasaan.
MCW turut menggesa semua pihak terlibat membuat pengisytiharan konflik kepentingan, selain mencadangkan moratorium sementara sehingga isu pencemaran lama diselesaikan secara tuntas.
MCW menegaskan pembangunan ekonomi tidak boleh mengorbankan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar, manakala sebarang persoalan berkaitan rasuah mesti dijawab melalui semakan bebas dan telus, bukan sekadar penjelasan.
“Apabila wujud persoalan rasuah, jawapannya bukan sekadar penjelasan, tetapi semakan bebas dan telus,” menurut kenyataan itu.-The Merdeka Times