Terkini
Siasatan PDRM, JAIS wajar terhadap ‘Glamping With Pride’ – Peguam
- Peguam Dr Zulqarnain Lukman berpandangan pihak berkuasa wajar menjalankan siasatan terperinci terhadap penganjuran program komuniti bertemakan “Glamping With Pride & HIV Hunger Games” oleh JEJAKA, yang mengundang kritikan awam susulan penggunaan penjenamaan dan pendekatan sensitif dalam landskap sosial serta budaya Malaysia.
- “Bagi memastikan penganjuran aktiviti sedemikian tidak bercanggah dengan undang-undang, pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu membuat siasatan terperinci,” katanya.
KUALA LUMPUR – Peguam Dr Zulqarnain Lukman berpandangan pihak berkuasa wajar menjalankan siasatan terperinci terhadap penganjuran program komuniti bertemakan “Glamping With Pride & HIV Hunger Games” oleh JEJAKA, yang mengundang kritikan awam susulan penggunaan penjenamaan dan pendekatan sensitif dalam landskap sosial serta budaya Malaysia.
Dr Zulqarnain menjelaskan bahawa secara umumnya tiada undang-undang khusus berkenaan aktiviti LGBT di Malaysia.
Namun, kegiatan berkenaan hanya menjadi kesalahan sekiranya melibatkan perlakuan seks di luar tabii atau perbuatan yang ditakrifkan sebagai menyalahi undang-undang sedia ada.
Menurut beliau, dalam konteks Selangor, terdapat peruntukan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 yang berkaitan, antaranya kesalahan lelaki berpakaian atau berlagak seperti perempuan di tempat awam (Seksyen 30), serta kesalahan berkelakuan tidak sopan bertentangan dengan Hukum Syarak di tempat awam (Seksyen 31).
“Bagi memastikan penganjuran aktiviti sedemikian tidak bercanggah dengan undang-undang, pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu membuat siasatan terperinci,” katanya.
Dr Zulqarnain turut berpandangan bahawa mungkin sudah sampai masanya Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menggubal peruntukan khusus yang melarang umat Islam terlibat dengan sebarang aktiviti yang boleh mengarah kepada aktiviti LGBT, bagi mengelakkan kekeliruan serta polemik berulang.
Mengenai kawal selia pertubuhan, beliau menjelaskan bahawa kuasa telah diperuntukkan kepada Menteri Dalam Negeri di bawah Seksyen 5(1) Akta Pertubuhan 1966 untuk mengisytiharkan mana-mana pertubuhan sebagai menyalahi undang-undang sekiranya didapati memudaratkan atau bertentangan dengan kepentingan keselamatan negara, ketenteraman awam atau kemoralan.
Sehubungan itu, Dr Zulqarnain berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) boleh menjalankan siasatan bagi menentukan samada pertubuhan yang terlibat dalam penganjuran program tersebut berdaftar dan sah di sisi undang-undang.
Jika didapati tidak berdaftar, tindakan boleh diambil mengikut peruntukan Akta Pertubuhan 1966.
Beliau turut mencadangkan kerjasama antara KDN dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memandangkan kumpulan berkenaan aktif di media sosial.
Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang, SKMM boleh mempertimbangkan sekatan akses terhadap platform atau portal berkaitan.
Dari sudut perspektif Islam, Dr Zulqarnain menekankan bahawa pihak berkuasa agama negeri seperti MAIS dan JAIS mempunyai panel serta fasilitator terlatih untuk membimbing individu terlibat ke arah pemahaman agama yang lebih tepat.
Menurutnya, kempen mendidik perlu dibuat secara bersasar agar matlamat kesihatan awam dapat dicapai tanpa menimbulkan keresahan masyarakat.
“Secara peribadi, saya berpandangan aktiviti seperti ini boleh mengundang rasa tidak selesa kerana ia dipromosikan secara terbuka di media sosial dan boleh diakses oleh semua pihak.
“Penganjur perlu memahami bahawa aktiviti yang mempunyai pengaruh LGBTQ tidak sesuai diamalkan di Malaysia dan bertentangan dengan adat resam masyarakat,” katanya.-The Merdeka Times