Terkini
Polisi ‘walk-in’ klinik kerajaan perlu kekal, elak golongan rentan terpinggir
- Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, dasar tanpa walk-in hanya wajar dilaksanakan sekiranya ia benar-benar bertujuan meningkatkan kecekapan, mengurangkan beban petugas serta membolehkan perkhidmatan kesihatan disusun dengan lebih terancang.
- Menurut beliau, sistem janji temu khususnya bagi pesakit kronik dan kes susulan sememangnya membantu mengurangkan kesesakan dan masa menunggu di klinik kesihatan.
- Namun, katanya, penghapusan sepenuhnya walk-in berisiko memberi kesan negatif kepada kumpulan rentan termasuk warga emas, golongan kurang celik digital serta penduduk luar bandar yang mempunyai kekangan akses teknologi.
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan polisi walk-in terhad di fasiliti kesihatan awam dilihat lebih realistik berbanding penghapusan sepenuhnya kaedah tersebut, kerana ia mampu mengimbangi kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan dengan prinsip akses kesihatan sejagat.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, dasar tanpa walk-in hanya wajar dilaksanakan sekiranya ia benar-benar bertujuan meningkatkan kecekapan, mengurangkan beban petugas serta membolehkan perkhidmatan kesihatan disusun dengan lebih terancang.
Menurut beliau, sistem janji temu khususnya bagi pesakit kronik dan kes susulan sememangnya membantu mengurangkan kesesakan dan masa menunggu di klinik kesihatan.
Namun, katanya, penghapusan sepenuhnya kemudahan walk-in berisiko memberi kesan negatif kepada kumpulan rentan termasuk warga emas, golongan kurang celik digital serta penduduk luar bandar yang mempunyai kekangan akses teknologi.
“Kes kecemasan ringan seperti sakit secara tiba-tiba juga boleh terjejas kerana sukar mendapatkan rawatan segera, sekali gus menyebabkan beban pesakit beralih ke hospital dan meningkatkan kesesakan di jabatan kecemasan,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.
Terdahulu, media melaporkan, Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan dakwaan bahawa fasiliti Klinik Kesihatan tidak lagi menerima pesakit walk-in, atau jumpa terus, seperti yang tular di media sosial.
KKM memaklumkan walaupun sistem janji temu adalah kaedah utama, ruang untuk pesakit walk-in tetap disediakan khususnya bagi kes kecemasan, warga emas dan golongan yang mempunyai kekangan akses teknologi.
Mengulas sistem janji temu sedia ada seperti MySejahtera, Datuk Dr. Zainal Ariffin berkata ia mempunyai kekuatan dari segi kemudahan penggunaan dan pengurusan aliran pesakit, namun masih berdepan kekangan kapasiti apabila slot janji temu sering penuh di klinik yang sibuk.
“Keperluan penambahbaikan dari aspek kapasiti slot yang terhad kerana sering penuh selain masalah teknologi kepada golongan yang kurang mahir terhadap penggunaan teknologi.
“Selain itu, fleksibiliti sistem bagi menghadapi permintaan tidak dijangka seperti penularan wabak bermusim perlu diperkemaskan,” tegasnya.
Bagi mengatasi isu kesesakan dalam jangka sederhana, beliau mencadangkan peningkatan kapasiti slot janji temu khusus untuk pesakit kronik dan kanak-kanak, penyediaan perkhidmatan hibrid dengan kaunter walk-in terhad, serta perluasan waktu operasi klinik bagi kes bukan kritikal.
“Bagi penyelesaian jangka panjang pula, keperluan memperkukuh perkhidmatan kesihatan primer melalui penambahan klinik, doktor dan jururawat, selain memperluas penggunaan teleperubatan bagi konsultasi susulan.
Beliau menegaskan, transformasi digital dalam sektor kesihatan sememangnya perlu, namun tidak boleh menafikan hak rakyat yang tidak mempunyai akses atau keupayaan teknologi.
“Polisi walk-in terhad (bukan dihapus sepenuhnya) adalah lebih realistik. Kementerian Kesihatan perlu mengimbangi antara kecekapan dan akses kesihatan sejagat.
“Walk-in perlu dikekalkan untuk kes kecemasan dan golongan rentan, manakala sistem janji temu mesti diperkukuh dengan bantuan di kaunter dan sokongan tenaga kerja tambahan,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan berperingkat, fleksibel dan berpusatkan pesakit adalah kunci kepada transformasi sistem kesihatan negara yang mampan. – The Merdeka Times