Terkini
Permit penerbitan China Press wajar dibatalkan – Teo Kok Seong
- Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, hukuman maksimum yang setimpal dengan kesalahan tersebut perlu dikenakan bagi memastikan prinsip kebertanggungjawaban media terus dipelihara.
- Menurut beliau, tindakan undang-undang boleh diambil di bawah beberapa peruntukan sedia ada, termasuk Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, selain kemungkinan penggunaan Akta Hasutan 1948 sebagai langkah tambahan.
- Beliau turut mengingatkan bahawa China Press mempunyai rekod lampau berkaitan isu pelaporan apabila pernah digantung penerbitannya selama sebulan pada tahun 1969.
KUALA LUMPUR – Permit penerbitan China Press, wajar dibatalkan kerana berlaku kesalahan pelaporan yang besar, khususnya apabila laporan yang diterbitkan bukan sahaja tidak tepat, malah bersifat mengelirukan serta menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab, menurut Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong.
Dr Teo berkata, hukuman maksimum yang setimpal dengan kesalahan tersebut perlu dikenakan bagi memastikan prinsip kebertanggungjawaban media terus dipelihara.
“Pada pendapat saya, wajar dibatalkan permit penerbitan apabila kesalahan sebegitu besar berlaku, iaitu tidak melapor secara tepat selain tidak bertanggungjawab, apabila mengangkat tajuk berita yang bukan sahaja salah juga yang boleh mengelirukan.”
“Hukuman maksimum yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan itu, harus dikenakan terhadap syarikat tersebut,” katanya kepada The Merdeka Times.
Menurut beliau, tindakan undang-undang boleh diambil di bawah beberapa peruntukan sedia ada, termasuk Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, selain kemungkinan penggunaan Akta Hasutan 1948 sebagai langkah tambahan.
Tambahnya, sebagai sebuah akhbar berbahasa Cina yang telah lama bertapak sejak 1946 dan mempunyai pengaruh besar, kesalahan pelaporan sedemikian tidak sepatutnya berlaku sama sekali.
“Ini kerana China Press adalah organisasi media besar yang sepatutnya mahir sekali dengan proses penyuntingan.
“Antaranya termasuklah yang akhir untuk mengesan kesilapan dan kesalahan yang masih wujud sebelum diterbitkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menolak keperluan untuk menggubal kod etika baharu bagi industri media, sebaliknya menegaskan bahawa kod etika sedia ada sudah memadai jika dipatuhi dengan penuh tanggungjawab.
“Kod etika sedia ada sudah pun memadai. Justeru sama sekali tidak perlu diadakan yang baharu.
“Dalam hal ini, organisasi media hendaklah selalu bertanggungjawab untuk tidak sesekali melanggar sebarang undang-undang negara,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa China Press mempunyai rekod lampau berkaitan isu pelaporan apabila pernah digantung penerbitannya selama sebulan pada tahun 1969.
Sehubungan itu, beliau turut menegaskan pihak berkenaan perlu lebih berhati-hati agar tidak mengulangi kesalahan sama pada masa hadapan.
Semalam, The Merdeka Times melaporkan, pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung hari ini mengesahkan beliau telah membuat laporan polis terhadap akhbar berbahasa Cina, China Press susulan dakwaan media itu menyiarkan ‘thumbnail’ atau tajuk poster yang didakwa memesongkan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung kedudukan Bahasa Melayu.
Menurut Firdaus, ‘thumbnail’ yang dimuat naik China Press itu menulis ayat “tidak tahu bahasa Melayu, jangan duduk Malaysia”, sedangkan titah Yang di-Pertuan Agong yang sebenar menurutnya ialah “tidak boleh terima bahasa Melayu, jangan duduk Malaysia.”
Beliau menegaskan perbezaan antara dua frasa itu adalah besar kerana membawa maksud yang jauh berbeza serta boleh mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat. – The Merdeka Times