Terkini
‘Pemikiran kritikal wartawan perlu berasaskan penyelidikan, analisis teliti’ – Majlis Media Malaysia
- Majlis Media Malaysia menegaskan kepentingan wartawan mengekalkan pemikiran kritikal dalam pelaporan, termasuk dalam pembentukan soalan dan naratif, yang perlu berasaskan persediaan rapi, penyelidikan mendalam serta analisis teliti terhadap isu-isu yang dilaporkan.
- MMM berkata, tanggungjawab untuk mengekalkan piawaian ini tidak terletak pada wartawan secara individu semata-mata, tetapi juga pada bilik berita dan organisasi media.
- MMM juga mengecam sekeras-kerasnya segala bentuk pendedahan maklumat peribadi, gangguan, ugutan dan ancaman terhadap wartawan yang disifatkan sebagai berbahaya serta menjejaskan keselamatan, privasi dan hak asasi pengamal media.
KUALA LUMPUR – Majlis Media Malaysia (MMM) menegaskan kepentingan wartawan mengekalkan pemikiran kritikal dalam pelaporan, termasuk dalam pembentukan soalan dan naratif, yang perlu berasaskan persediaan rapi, penyelidikan mendalam serta analisis teliti terhadap isu-isu yang dilaporkan.
MMM berkata, tanggungjawab untuk mengekalkan piawaian ini tidak terletak pada wartawan secara individu semata-mata, tetapi juga pada bilik berita dan organisasi media.
“Ini merangkumi penyediaan latihan yang sesuai, bimbingan editorial serta pembudayaan persekitaran editorial yang kukuh, yang menyokong kewartawanan bertanggungjawab tanpa mewujudkan suasana ketakutan atau penapisan kendiri dalam kalangan wartawan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, MMM mengambil maklum permohonan maaf secara terbuka yang dikeluarkan oleh Free Malaysia Today (FMT) serta penjelasan susulan hasil semakan dalaman berhubung isu terkini yang melibatkan salah seorang wartawannya.
“MMM mengiktiraf langkah-langkah yang diambil oleh organisasi berita tersebut untuk menangani isu berkenaan dan memberikan pertanggungjawaban secara terbuka terhadap cara ia dikendalikan, selaras dengan prinsip ketelusan dan tanggungjawab editorial,” jelas kenyataan tersebut.
MMM juga mengecam sekeras-kerasnya segala bentuk pendedahan maklumat peribadi, gangguan, ugutan dan ancaman terhadap wartawan yang disifatkan sebagai tindakan berbahaya serta menjejaskan keselamatan, privasi dan hak asasi pengamal media.
Menurut MMM, perbuatan sedemikian bukan sahaja meletakkan wartawan dalam keadaan berisiko, mencabul privasi, keselamatan serta hak asasi mereka, malah menjejaskan peranan asas kewartawanan dalam sesebuah masyarakat demokratik.
“Tiada wartawan seharusnya terdedah kepada ancaman atau kecederaan peribadi, tanpa mengira perbezaan pandangan terhadap hasil kerja mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, MMM menggesa semua pihak agar bertenang dan berhemah, sambil menegaskan bahawa mengemukakan soalan kepada pakar, tokoh awam dan pihak berkepentingan dalam ruang awam merupakan amalan kewartawanan yang sah dan diterima.
“Sebarang kebimbangan terhadap amalan kewartawanan wajar ditangani melalui saluran yang profesional, seimbang dan membina, dan bukannya melalui kecaman terbuka atau tindakan menghukum yang disasarkan kepada individu,” kata kenyataan itu.
Sebagai badan berkanun bebas yang ditubuhkan untuk memelihara piawaian serta kebertanggungjawaban media, MMM turut menyatakan kesediaan untuk memudah cara dialog atau pengantaraan antara pihak terlibat sekiranya difikirkan sesuai. – The Merdeka Times