Connect with us

Terkini

Pelaksanaan kemasukan murid Tahun Satu tidak wajar bersifat pilihan – GPMS

Published

on

Foto: Presiden GPMS, Muhd Fazreen Ismadi Fauzi.
  • Presidennya, Muhd Fazreen Ismadi Fauzi berkata, meskipun GPMS menyatakan persetujuan dari sudut prinsip terhadap hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang diumumkan oleh  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa Peluncuran Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035, pelaksanaannya perlu dibuat secara tegas dan menyeluruh.
  • Mengulas realiti perkembangan kanak-kanak masa kini, Muhd Fazreen berkata bahawa kanak-kanak hari ini membesar dalam persekitaran yang jauh berbeza berbanding generasi terdahulu.
  • GPMS juga menyeru ibu bapa agar membuat persediaan awal terhadap anak-anak bukan sahaja dari sudut akademik,  tetapi juga perkembangan emosi, disiplin, keyakinan diri dan kebolehan bersosial anak-anak agar menjelang tahun 2027 mereka benar-benar bersedia memasuki alam persekolahan formal.

KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menegaskan bahawa pelaksanaan dasar kemasukan murid ke Tahun Satu seawal usia lima tahun (5+) tidak wajar dilaksanakan dalam bentuk pilihan, sukarela atau melalui penilaian kemasukan kerana pendekatan sedemikian berisiko mewujudkan ketidaksamaan sistemik dalam pendidikan asas negara.

Presidennya, Muhd Fazreen Ismadi Fauzi berkata, meskipun GPMS menyatakan persetujuan dari sudut prinsip terhadap hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang diumumkan oleh  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa Peluncuran Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035, pelaksanaannya perlu dibuat secara tegas dan menyeluruh.

“Pendidikan asas negara tidak boleh dibina atas pendekatan separuh masak yang akhirnya mewujudkan ketidaksamaan sistemik dalam kalangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, GPMS menolak pendekatan memberi pilihan kepada ibu bapa berhubung kemasukan murid 5+ ke Tahun Satu dan sebaliknya mendesak KPM menetapkan dasar tersebut sebagai wajib bermula tahun 2027.

“Sekiranya KPM tidak bersedia untuk mewajibkan dasar ini secara menyeluruh maka GPMS berpandangan dasar ini tidak perlu dilaksanakan sama sekali,” tegasnya.

“Pelaksanaan secara pilihan hanya akan membesarkan jurang pendidikan antara golongan berkemampuan dan kurang berkemampuan, selain menghasilkan kohort murid dengan tahap kesiapsiagaan yang terlalu berbeza dalam satu sistem,” tegasnya.

Mengulas realiti perkembangan kanak-kanak masa kini, Muhd Fazreen berkata bahawa kanak-kanak hari ini membesar dalam persekitaran yang jauh berbeza berbanding generasi terdahulu. 

“Pendedahan awal kepada teknologi, komunikasi dan pembelajaran tidak formal menjadikan majoriti kanak-kanak mempunyai keupayaan untuk memulakan pembelajaran formal lebih awal dengan syarat pendekatan pedagogi disesuaikan dengan tahap perkembangan mereka.

“Oleh itu sistem pendidikan nasional perlu mendahului perubahan sosial bukan bertindak secara reaktif,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa RPM 2026–2035 merupakan dokumen rasmi negara dan bukannya manifesto politik, justeru KPM bertanggungjawab memastikan kesiapsiagaan sistem secara menyeluruh sebelum mewajibkan dasar tersebut.

“Antara aspek yang perlu diberi perhatian ialah penyediaan infrastruktur sekolah yang mencukupi dan selamat; bilangan guru yang mencukupi khususnya guru terlatih dalam pendidikan awal kanak-kanak.

“Selain itu, pendekatan pengajaran yang bersifat perkembangan (developmentally appropriate) bukan berorientasikan peperiksaan atau pencapaian tertentu; serta tidak perlu ujian bagi kemasukan pelajar 5+ ke darjah satu,” katanya.

Dalam pada itu, GPMS turut menuntut penjelasan rasmi dan terperinci daripada KPM berhubung silibus Tahun Satu hingga Tahun Tiga.

“Tanpa kejelasan silibus, dasar kemasukan awal berisiko membebankan murid, guru dan ibu bapa serta bercanggah dengan matlamat pembangunan kanak-kanak secara holistik,” katanya.

GPMS juga menyeru ibu bapa agar membuat persediaan awal terhadap anak-anak bukan sahaja dari sudut akademik,  tetapi juga perkembangan emosi, disiplin, keyakinan diri dan kebolehan bersosial anak-anak agar menjelang tahun 2027 mereka benar-benar bersedia memasuki alam persekolahan formal.

“Reformasi pendidikan menuntut ketegasan dasar, kejelasan pelaksanaan dan kebertanggungjawaban institusi.   Pendidikan asas negara tidak boleh dilaksanakan secara cuba-jaya atau bersifat pilihan.

“Wajibkan secara menyeluruh atau jangan laksanakan langsung,” ujarnya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author