Terkini
Negeri keluar Persekutuan?: Perlu pinda Perlembagaan, sokongan 2/3 majoriti – Peguam
- Peguam, Dr. Zulqarnain Lukman berkata, Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 1 hanya memperuntukkan bahawa negeri-negeri Persekutuan terdiri daripada negeri-negeri Tanah Melayu serta negeri-negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak, tanpa menetapkan sebarang tatacara khusus untuk mana-mana negeri berpisah daripada Malaysia.
- “Persoalannya, adakah kerajaan negeri mampu menanggung implikasi ekonomi dan sosial akibat kehilangan peluang pekerjaan untuk sebahagian rakyat mereka?” katanya.
KUALA LUMPUR – Sebarang usaha atau cadangan sesebuah negeri untuk keluar daripada Persekutuan Malaysia memerlukan pindaan akta Perlembagaan serta kelulusan dua per tiga sokongan majoriti di Parlimen menerusi baharulah sesuatu pindaan boleh dilakukan.
Peguam, Dr. Zulqarnain Lukman berkata, Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 1 hanya memperuntukkan bahawa negeri-negeri Persekutuan terdiri daripada negeri-negeri Tanah Melayu serta negeri-negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak, tanpa menetapkan sebarang tatacara khusus untuk mana-mana negeri berpisah daripada Malaysia.
Menurut beliau, walaupun terdapat suara-suara tertentu yang membangkitkan isu berkenaan, realitinya proses tersebut bukan sahaja rumit dari sudut perundangan, malah melibatkan implikasi besar dari aspek politik, ekonomi dan keselamatan negara.
“Selain keperluan pindaan Perlembagaan, kerajaan negeri juga perlu menilai kesan dan akibat sekiranya berada di luar Persekutuan.
“Ketika ini, banyak kelebihan diperoleh hasil keanggotaan dalam Malaysia termasuk penyediaan infrastruktur asas seperti pasukan polis, angkatan tentera, hospital, imigresen dan pelbagai agensi lain,” katanya kepada The Merdeka Times.
Tambah beliau, sekiranya sesebuah negeri keluar daripada Malaysia, semua kos dan pembiayaan berkaitan perlu ditanggung sendiri oleh negeri berkenaan, termasuk aspek keselamatan dan perkhidmatan awam.
Beliau turut menekankan isu kebajikan rakyat, khususnya penduduk asal Borneo yang kini bekerja di Semenanjung, golongan ini berkemungkinan perlu memohon visa atau permit kerja khas, sekali gus menimbulkan risiko kehilangan pekerjaan.
“Persoalannya, adakah kerajaan negeri mampu menanggung implikasi ekonomi dan sosial akibat kehilangan peluang pekerjaan untuk sebahagian rakyat mereka?” katanya.
Pada masa sama, Dr. Zulqarnain mengingatkan bahawa terdapat undang-undang sedia ada seperti Akta Hasutan 1948 yang melarang isu pemisahan dibahaskan secara terbuka, dan mana-mana pihak yang melanggar peruntukan tersebut boleh berdepan tindakan undang-undang.
Mengulas kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sebelum ini, beliau berpandangan kenyataan tersebut tidak wajar dipandang ringan oleh kepimpinan di Semenanjung, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Perasaan tidak puas hati itu perlu ditangani secara berhemah melalui rundingan.
“Penstrukturan kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini, sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya, termasuk pengumuman penubuhan satu kementerian khusus untuk Sabah dan Sarawak bagi menyelesaikan isu-isu tertunggak,” jelasnya.
Menurut beliau, pendekatan Sarawak dalam mengurus isu perpaduan seperti dirujuk oleh Nanta boleh dikaji untuk diaplikasikan di Semenanjung, namun mengakui realiti politik dan tahap polarisasi di Semenanjung adalah berbeza.
Secara peribadi, Dr. Zulqarnain menegaskan pandangan Nanta hanyalah luahan peribadi dan bukan satu gesaan agar Sarawak keluar daripada Malaysia.
“Beliau hanya mahukan supaya hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditunaikan sepenuhnya.
“Malah, perkembangan semasa menunjukkan Perdana Menteri telah memberi komitmen dan harapan kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk menyelesaikan perkara-perkara tertunggak ini,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan, Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata perbalahan politik yang berlarutan di Semenanjung Malaysia, khususnya melibatkan isu kaum, agama dan kuasa, semakin memenatkan serta memberi kesan kepada keharmonian negara.
Beliau mengaku, dengan suara yang hampir kecewa, bahawa semakin lama beliau melihat keadaan di tanah besar, semakin kuat perasaan bahawa Sarawak mungkin tidak pernah benar-benar difahami.
“Mungkin dari awal lagi, kita memang tidak ditakdirkan untuk menjadi satu bangsa. Sebab itu Tuhan memisahkan kita dengan Laut China Selatan,” katanya. – The Merdeka Times