Terkini
MCMC tarik balik sekatan sementara Grok di platform X
- MCMC memaklumkan sekatan akses sementara ke atas penggunaan aplikasi Grok di platform X telah ditarik balik berkuat kuasa hari ini.
- Menurut MCMC, ia susulan pengesahan pelaksanaan langkah-langkah pencegahan dan keselamatan tambahan oleh pihak platform berkenaan.
- “Sebarang kegagalan pematuhan atau pelanggaran undang-undang Malaysia akan ditangani secara tegas selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” ujarnya.
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan sekatan akses sementara ke atas penggunaan aplikasi Grok di platform X telah ditarik balik berkuat kuasa hari ini.
Menurut MCMC, ia susulan pengesahan pelaksanaan langkah-langkah pencegahan dan keselamatan tambahan oleh pihak platform berkenaan.
MCMC menjelaskan, satu mesyuarat telah diadakan antara Kementerian Komunikasi, MCMC serta wakil platform X berhubung aplikasi Grok.
“Mesyuarat berkenaan diadakan bagi mendapatkan penjelasan dan komitmen pihak platform X berhubung langkah pencegahan serta pematuhan undang-undang Malaysia.
“Di mana pihak X telah mengesahkan bahawa langkah keselamatan yang diperlukan telah dilaksanakan terhadap aplikasi Grok,” jelas MCMC dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, menurutnya, setelah mengambil kira penjelasan dan pengesahan awal yang dikemukakan, MCMC telah menarik balik sekatan akses sementara yang dikenakan terhadap aplikasi Grok, tertakluk kepada pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa.
“MCMC menegaskan bahawa keselamatan pengguna kekal sebagai keutamaan.
“Sebarang kegagalan pematuhan atau pelanggaran undang-undang Malaysia akan ditangani secara tegas selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” ujarnya. – The Merdeka Times