Terkini
Malaysia ‘Top 3’ populasi etnik Cina dunia – Seasia Stats
- Malaysia disenaraikan sebagai negara ketiga mempunyai populasi etnik Cina terbesar di dunia dengan anggaran 6.9 juta penduduk berketurunan Cina, menurut data dikeluarkan Seasia Stats.
- Indonesia menduduki tempat pertama dunia dengan anggaran 11.2 juta penduduk keturunan Cina.
- Thailand berada di kedudukan kedua dengan kira-kira 7.0 juta penduduk etnik Cina. Populasi Cina-Thai dilihat sangat berasimilasi dan sebati dalam masyarakat Thailand.
KUALA LUMPUR – Malaysia disenaraikan sebagai negara ketiga mempunyai populasi etnik Cina terbesar di dunia dengan anggaran 6.9 juta penduduk berketurunan Cina, menurut data dikeluarkan Seasia Stats.
Seasia Stats melaporkan, taburan populasi diaspora Cina di pelbagai negara menggambarkan sejarah panjang migrasi, perdagangan dan pertukaran budaya merentas benua sejak ratusan tahun, yang sehingga kini terus membentuk corak demografi serta dinamika sosial dan ekonomi banyak negara.
Dalam konteks Malaysia, komuniti etnik Cina kekal sebagai salah satu komponen utama struktur masyarakat bersama komuniti Melayu dan India, selain memainkan peranan dalam landskap ekonomi, jaringan perniagaan serta perkembangan kawasan bandar di seluruh negara.
Berdasarkan data sama, Indonesia menduduki tempat pertama dunia dengan anggaran 11.2 juta penduduk keturunan Cina, menjadikannya negara yang mempunyai populasi etnik Cina terbesar di luar tanah besar China.
Komuniti tersebut dilaporkan telah menyumbang besar dalam pembangunan ekonomi, budaya dan pembentukan bandar di Indonesia sejak beberapa generasi, khususnya dalam sektor perdagangan dan rangkaian perniagaan.
Sementara itu, Thailand berada di kedudukan kedua dengan kira-kira 7.0 juta penduduk etnik Cina.
Populasi Cina-Thai dilihat sangat berasimilasi dan sebati dalam masyarakat Thailand, terutama dalam bidang perniagaan, politik serta perdagangan.
Selain Asia Tenggara, komuniti etnik Cina yang besar turut wujud di beberapa negara lain seperti Amerika Syarikat, Singapura dan Kanada, sekaligus menunjukkan diaspora Cina mempunyai rangkaian global yang luas dan merentasi sempadan wilayah.
Taburan tersebut turut memperlihatkan bagaimana corak migrasi sejarah terus mempengaruhi kepelbagaian budaya, jaringan ekonomi serta hubungan sosial di pelbagai benua, selain mencorakkan perkembangan bandar dan struktur masyarakat di negara-negara yang menerima komuniti diaspora sejak sekian lama.-The Merdeka Times