Terkini
Mahkamah Tinggi: Atomy Korea terbukti terlibat Kristianisasi, Firdaus Wong bukan pemfitnah berniat jahat
- Dalam penghakimannya, mahkamah menyatakan bahawa fakta teras telah dibuktikan, iaitu Atomy Korea terlibat dalam aktiviti misionari Kristian; plaintif, Atomy Malaysia pula dimiliki dan dikawal sepenuhnya oleh Atomy Korea; dan aliran manfaat kewangan yang besar mengalir kepada syarikat induk tersebut.
- Mahkamah juga menilai tingkah laku plaintif yang memilih untuk kekal sebagai anak syarikat milik penuh Atomy Korea walaupun mengetahui aktiviti Kristian syarikat induk tersebut, membayar RM14 juta dividen kepada Atomy Korea, dan terus membeli produk bernilai RM98 juta setahun daripada syarikat itu.
- Mahkamah turut menyimpulkan bahawa tindakan defendan, Firdaus Wong, bukanlah tingkah laku seorang pemfitnah berniat jahat, sebaliknya adalah perbuatan seorang pendidik agama yang bertanggungjawab.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi dalam alasan penghakimannya menegaskan bahawa terdapat asas fakta yang mencukupi untuk menyokong pandangan bahawa Atomy Korea terlibat dalam aktiviti misionari Kristian, sekali gus membolehkan komen defendan, Firdaus Wong yang juga pendakwah dibuat secara jujur sebagai seorang pendidik agama Islam.
Dalam penghakimannya, mahkamah menyatakan bahawa fakta teras telah dibuktikan, iaitu Atomy Korea terlibat dalam aktiviti misionari Kristian; plaintif, Atomy Malaysia pula dimiliki dan dikawal sepenuhnya oleh Atomy Korea; dan aliran manfaat kewangan yang besar mengalir kepada syarikat induk tersebut.
Kesemua faktor ini, menurut mahkamah, menyediakan asas fakta yang mencukupi bagi komen defendan.
Mahkamah turut menyatakan bahawa reputasi plaintif, dalam konteks isu yang dipertikaikan, adalah selaras dengan dapatan bahawa ia dimiliki sepenuhnya oleh sebuah syarikat yang terlibat dalam aktiviti misionari Kristian.
Mahkamah juga menilai tingkah laku plaintif yang memilih untuk kekal sebagai anak syarikat milik penuh Atomy Korea walaupun mengetahui aktiviti Kristian syarikat induk tersebut, membayar RM14 juta dividen kepada Atomy Korea, dan terus membeli produk bernilai RM98 juta setahun daripada syarikat itu.
Penghakiman itu turut merujuk kepada keputusan Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang dianggotai oleh semua mufti negeri, yang selepas kajian terperinci memutuskan bahawa umat Islam adalah dilarang daripada melibatkan diri dalam aktiviti perniagaan dan mempromosikan Atomy Company.
Selain itu, plaintif juga tidak mencabar keputusan i-Figh JAKIM atau fatwa Selangor, gagal membezakan dirinya secara bermakna daripada aktiviti Atomy Korea, dan tidak mengemukakan bukti usaha untuk menangani kebimbangan agama yang dibangkitkan.
Mahkamah menegaskan bahawa kegagalan plaintif untuk mencabar keputusan-keputusan agama tersebut adalah satu faktor yang signifikan.
Apabila majlis agama paling berautoriti mencapai kesimpulan yang sama, mahkamah menyatakan bahawa tidak munasabah untuk berhujah bahawa pandangan defendan adalah pandangan yang tidak boleh dipegang oleh seseorang yang jujur.
Dalam penghakimannya, mahkamah juga memberi penekanan bahawa defendan bertindak sebagai seorang guru agama yang menangani isu kebimbangan komuniti.
Mahkamah menjelaskan defendan juga mengambil bahagian dalam dialog mesyuarat pada 6 Januari 2021, dan dalam banyak kenyataan telah membezakan antara Atomy Korea dan plaintif.
Menurut mahkamah, kebimbangan yang dibangkitkan oleh defendan kemudiannya disahkan melalui siasatan rasmi.
Justeru, mahkamah menyimpulkan bahawa tindakan defendan bukanlah tingkah laku seorang pemfitnah berniat jahat, sebaliknya adalah perbuatan seorang pendidik agama yang bertanggungjawab.
Mahkamah juga mengakui bahawa defendan mempunyai kira-kira 500,000 pengikut media sosial dan hantaran yang dibuat adalah bersifat awam, sekali gus memberi peredaran yang meluas. Faktor ini lazimnya boleh meningkatkan taksiran ganti rugi.
Namun, mahkamah menegaskan bahawa faktor tersebut perlu diimbangi dengan bukti lain.
Berdasarkan bukti kewangan objektif, mahkamah mendapati tiada kesan buruk terhadap perniagaan plaintif.
Sebaliknya menurut mahkamah, ia menunjukkan pertumbuhan perniagaan yang ketara, dengan hasil meningkat 60% dan keuntungan kasar meningkat 58% pada tahun 2021.
Keadaan ini, menurut mahkamah, adalah bertentangan dengan apa yang lazimnya dijangkakan sekiranya kerosakan komersial yang serius benar-benar berlaku.
Mahkamah berpandangan bahawa plaintif tidak boleh, pada masa yang sama, menikmati manfaat komersial sebagai anak syarikat milik penuh Atomy Korea dan mendakwa reputasinya terjejas apabila implikasi hubungan tersebut dibincangkan secara terbuka. – The Merdeka Times