Terkini
LAPORAN KHAS: Satu generasi terbelit hutang: Belia bergantung kepada pinjaman demi kelangsungan hidup
- Timbalan Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Dr. Mohd Fairuz A. Razak berkata belia hari ini memulakan kehidupan dewasa dalam keadaan yang tidak seimbang, apabila gaji permulaan yang rendah tidak seiring dengan kos sara hidup yang tinggi dan terus meningkat.
- Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpandangan literasi dan disiplin kewangan yang lemah turut menyumbang kepada kebankrapan.
- Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School, Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpandangan dasar semasa kerajaan masih belum mencukupi untuk menangani isu kebankrapan belia secara berkesan.
Di Malaysia, satu fenomena yang semakin membimbangkan sedang berlaku. Golongan belia kini memasuki alam dewasa dengan dibebani hutang, berjuang untuk bertahan dalam ekonomi yang tidak seimbang antara gaji yang rendah dan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Walaupun kebankrapan sering dilihat sebagai kegagalan peribadi, realitinya hampir 60 peratus kes kebankrapan kini melibatkan mereka yang berusia bawah 30 tahun.
Bagi ramai belia Malaysia, hutang bukan lagi pilihan, ia telah menjadi alat kelangsungan hidup.
Para pakar memberi amaran bahawa ketidakstabilan kewangan yang semakin meningkat di kalangan belia ini adalah petanda kepada keretakan ekonomi yang lebih besar yang boleh memberi impak kepada seluruh negara.
Dengan peluang pekerjaan yang terhad, kos hidup yang tinggi, dan akses mudah kepada pinjaman, belia Malaysia didorong ke dalam jurang kebankrapan, bankrap sebelum sempat membina asas kewangan yang kukuh.
Laporan khas ini akan mendedahkan punca utama di sebalik krisis ini, mengkaji kegagalan sistem yang membelenggu generasi muda, serta keperluan mendesak untuk reformasi bagi melindungi masa depan tenaga kerja muda negara.
Ikuti temu ramah eksklusif The Merdeka Times bersama tiga barisan panelis – Timbalan Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA) Dr. Mohd Fairuz A. Razak, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, dan Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff bagi membincangkan isu ini.
Baru-baru ini media melaporkan, kira-kira 18 individu diisytiharkan bankrap setiap hari di negara ini, dengan lonjakan kes melibatkan golongan belia bawah 30 tahun merekodkan hampir 60 peratus daripada keseluruhan peningkatan kes tahun ini.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Sivaraj Chandran berkata, anggaran itu dibuat berdasarkan keseluruhan 4,875 rakyat yang diisytiharkan bankrap dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, meningkat 5.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata, angka itu menunjukkan trend membimbangkan apabila 71.6 peratus daripada kes melibatkan hutang dari RM500,000 hingga RM1 juta, manakala 20.6 peratus lagi membabitkan hutang RM100,000 hingga RM500,000.
Pendedahan tersebut melibatkan golongan belia bukan lagi sekadar angka statistik, sebaliknya mencerminkan tekanan struktur ekonomi yang semakin menghimpit generasi muda negara ini.
Fenomena tersebut menimbulkan kebimbangan serius kerana majoriti belia muflis sebelum sempat membina asas kewangan yang stabil, sekali gus memberi gambaran bahawa sistem ekonomi sedia ada gagal menyokong peralihan mereka ke alam dewasa secara mampan.
Belia Memulakan Hidup Dewasa dalam Keadaan Tidak Seimbang
Timbalan Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Dr. Mohd Fairuz A. Razak berkata kebankrapan belia tidak boleh lagi dilihat sebagai kegagalan peribadi semata-mata.
“Apabila hampir enam daripada 10 kes kebankrapan melibatkan golongan belia, ini jelas mencerminkan kegagalan struktur, bukan sekadar kelemahan individu.
“Angka ini bukan sekadar statistik pentadbiran, tetapi satu petunjuk awal bahawa semakin ramai anak muda gagal bertahan dalam sistem ekonomi sedia ada malah sebelum sempat mereka membina asas kewangan yang stabil,” katanya.
Menurut beliau, belia hari ini memulakan kehidupan dewasa dalam keadaan yang tidak seimbang, apabila gaji permulaan yang rendah tidak seiring dengan kos sara hidup yang tinggi dan terus meningkat.
“Hutang pendidikan, keperluan memiliki kenderaan untuk bekerja, kos sewaan di bandar serta harga rumah yang semakin tidak mampu milik menjadikan hutang satu keperluan asas, bukan pilihan,” jelasnya.
“Dalam banyak kes, hutang bukan digunakan untuk gaya hidup mewah, tetapi untuk menampung keperluan harian seperti tempat tinggal, pengangkutan dan makanan. Masalah ini menjadi lebih serius apabila kenaikan gaji tidak seiring dengan kenaikan kos sara hidup.
“Walaupun kadar inflasi rasmi kelihatan terkawal, inflasi sebenar yang dirasai belia, khususnya dalam perumahan, makanan dan pengangkutan adalah jauh lebih tinggi.
“Akibatnya, ramai belia hidup dalam defisit bulanan kronik, gaji habis sebelum hujung bulan, dan baki perbelanjaan ditampung melalui hutang. Sedikit demi sedikit, hutang terkumpul tanpa disedari sehingga akhirnya menjadi tidak terkawal,” katanya.
Beban Cukai Tidak Langsung
Dr. Mohd Fairuz turut menegaskan bahawa dimensi percukaian sering terlepas pandang dalam perbincangan mengenai kebankrapan belia.
“Walaupun majoriti belia tidak membayar cukai pendapatan pada kadar yang tinggi, mereka tetap menanggung beban fiskal melalui cukai tidak langsung yang terbenam dalam harga barangan dan perkhidmatan harian,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa cukai bersifat regresif ini menghakis pendapatan boleh guna, memaksa belia menggunakan kredit untuk menampung jurang perbelanjaan, sekali gus menjadikan hutang sebagai alat kelangsungan hidup.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya dasar fiskal dinilai melalui lensa belia atau ‘Youth Tax Lens’ bagi memastikan implikasi terhadap generasi muda diambil kira secara menyeluruh.
“Oleh itu, dasar fiskal perlu dinilai melalui lensa belia (Youth Tax Lens). Dari sudut pendidikan fiskal, sistem cukai yang lebih telus memberi ruang pembelajaran yang lebih jelas berbanding SST yang kurang kelihatan dalam transaksi harian.
“Apabila cukai dipaparkan secara nyata pada resit dan invois, belia dapat memahami bahawa setiap keputusan penggunaan mempunyai implikasi cukai.
“Pendedahan ini membolehkan belia mempelajari konsep nilai tambah, beban cukai dan tanggungjawab fiskal secara praktikal bukan melalui teori semata-mata, tetapi melalui pengalaman harian. Kesedaran fiskal awal ini penting untuk membentuk generasi pembayar cukai yang lebih bertanggungjawab dan berdaya tahan dalam jangka panjang,” tegasnya.
Pekerjaan Tidak Stabil, Kredit Terlalu Mudah
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpandangan literasi dan disiplin kewangan yang lemah turut menyumbang kepada kebankrapan.
“Secara umumnya, kurangnya literasi dan disiplin kewangan boleh menyumbang kepada situasi kebankrapan.
“Faktor seperti kecenderungan membeli secara impulsif dan budaya mahu bersaing dari segi penerimaan sosial boleh menjerumuskan seseorang kepada tahap keberhutangan kronik,” katanya.
Beliau menegaskan pendidikan kewangan perlu dilaksanakan secara berterusan bagi membentuk kesedaran berdisiplin dalam pengurusan kewangan peribadi.
Sementara itu, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School, Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata peningkatan kebankrapan belia berpunca daripada pelbagai faktor yang saling berkait.
“Faktor utama termasuk literasi kewangan yang masih rendah, pengaruh rakan, keluarga dan media sosial, gaji yang rendah, kos sara hidup yang tinggi serta akses kepada pinjaman dan skim Buy Now Pay Later (BNPL) yang terlalu mudah,” jelasnya.
Menurut beliau, kekurangan peluang pekerjaan bergaji kompetitif memaksa ramai belia beralih ke ekonomi gig dan pekerjaan kontrak yang tidak menjamin kestabilan pendapatan.
“Ini meningkatkan kebarangkalian untuk berhutang kerana pendapatan tidak konsisten,” katanya.
Dasar Sedia Ada Tidak Mencukupi
Profesor Madya Dr. Ahmed Razman turut berpandangan dasar semasa kerajaan masih belum mencukupi untuk menangani isu kebankrapan belia secara berkesan.
“Dasar sedia ada tidak memperkasakan alternatif kepada sistem hutang dan tidak mengetatkan kriteria pengambilan hutang serta BNPL.
“Akses BNPL yang terlalu mudah semakin menyumbang kepada masalah kebankrapan belia,” katanya.
Beliau mencadangkan agar kerajaan menekankan literasi kewangan yang lebih berfokus serta memperkenalkan alternatif kepada hutang konvensional.
“Program kewangan perlu diterapkan sejak sekolah rendah dengan penglibatan semua pemegang taruh.
“Alternatif seperti sistem langganan pemilikan kereta, musharakah mutanaqisah untuk perumahan dan qardhul hassan bagi pembiayaan peribadi perlu diperkasakan,” tegasnya.
Isyarat Amaran Negara
Para pakar sepakat bahawa kebankrapan belia bukan isu terpencil, sebaliknya isyarat awal kepada krisis ekonomi yang lebih besar jika tidak ditangani segera.
Jika generasi muda terus terperangkap dalam hutang sebelum sempat membina aset dan simpanan, negara berdepan risiko memiliki tenaga kerja yang rapuh dari segi kewangan, rendah daya tahan ekonomi serta kurang keupayaan menyumbang secara mampan kepada pertumbuhan negara.
Melindungi belia daripada kebankrapan bukan soal ihsan, tetapi pelaburan strategik jangka panjang demi kestabilan ekonomi negara.
Negara yang membiarkan belianya muflis, hakikatnya sedang menangguhkan krisis ekonomi yang lebih besar pada masa hadapan. – The Merdeka Times