Terkini
LAPORAN KHAS: Politik Malaysia masih terikat acuan kaum
- Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub, berkata struktur politik berasaskan kaum itu sudah lama berakar dan sukar diubah dalam jangka masa singkat.
- Sementara itu, Pensyarah Program Pengajian Polisi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd Yusri Ibrahim, menegaskan bahawa realiti demografi Malaysia menjadikan politik pelbagai kaum sebagai satu keperluan, bukan pilihan.
- Pandangan lebih kritikal dikemukakan oleh Penganalisis Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib, yang menyifatkan politik identiti di Malaysia sebagai kesan jangka panjang warisan kolonial.
Politik Malaysia sejak sebelum mencapai kemerdekaan telah terbentuk dalam kerangka politik berasaskan kaum, selari dengan realiti masyarakat majmuk yang menghuni Tanah Melayu ketika itu.
Penubuhan parti-parti politik utama seperti UMNO, MCA dan MIC bukan sahaja mencerminkan tuntutan serta kepentingan etnik masing-masing, malah menjadi asas kepada pembentukan sistem politik negara yang berteraskan perkongsian kuasa.
Walaupun negara telah melalui pelbagai fasa kematangan politik, acuan politik kaum tersebut kekal dominan dan terus mempengaruhi corak sokongan pengundi sehingga hari ini.
Usaha untuk memperkenalkan politik pelbagai kaum dan merentas identiti etnik bukanlah sesuatu yang baharu, namun ia sering berdepan cabaran besar akibat tradisi politik lama, struktur demografi serta sentimen identiti yang masih kuat dalam kalangan masyarakat.
Dalam konteks politik semasa yang semakin kompleks dan terpecah, persoalan mengenai kerelevanan parti berasaskan kaum, keperluan inklusiviti serta model gabungan politik yang mampu menjamin kestabilan dan keharmonian nasional kembali menjadi perbahasan utama.
Isu ini bukan sahaja menyentuh soal pembentukan kerajaan, malah melibatkan masa depan demokrasi, perpaduan dan hala tuju politik Malaysia secara keseluruhan.
Ikuti temu ramah eksklusif The Merdeka Times bersama tiga barisan panelis Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, Pensyarah Program Pengajian Polisi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim dan Penganalisis Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib bagi membincangkan isu ini.
Acuan politik Malaysia
Politik Malaysia sejak sebelum kemerdekaan sememangnya dibentuk berasaskan acuan kaum, suatu realiti sejarah yang terus mempengaruhi landskap politik negara sehingga ke hari ini. Penubuhan parti-parti politik awal seperti UMNO, MCA dan MIC yang mewakili kaum masing-masing bukan sahaja menjadi asas perjuangan kemerdekaan, malah membentuk satu tradisi politik yang berpanjangan.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub, berkata struktur politik berasaskan kaum itu sudah lama berakar dan sukar diubah dalam jangka masa singkat.
“Semenjak sebelum merdeka, politik Malaysia dibentuk berasaskan acuan politik kaum.
“Maka tidak menghairankan sehingga hari ini parti-parti berasaskan kaum masih mendapat sokongan daripada kelompok kaum masing-masing untuk terus ‘survive’ dalam arena politik negara,” katanya.
Menurut beliau, walaupun terdapat usaha menubuhkan parti pelbagai kaum seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), amalan dan budaya politik lama masih mencengkam, menyebabkan perubahan ke arah politik rentas kaum berlaku secara perlahan.
“Kita tidak boleh menolak usaha untuk mewujudkan satu identiti politik baharu melalui parti pelbagai kaum, namun apabila acuan lama ini telah lama digunakan, ia sukar diubah,” ujarnya.
Sementara itu, Pensyarah Program Pengajian Polisi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd Yusri Ibrahim, menegaskan bahawa realiti demografi Malaysia menjadikan politik pelbagai kaum sebagai satu keperluan, bukan pilihan.
“Malaysia adalah masyarakat majmuk. Orang Melayu hanya sekitar lebih 50 peratus dan tidak sampai 60 peratus. Maka tiada satu parti pun boleh membentuk kerajaan dengan sokongan satu etnik sahaja,” katanya.
Beliau menambah bahawa dalam politik moden, pendekatan terbaik ialah politik yang meraikan kepelbagaian.
“Dalam masa yang sama situasi sekarang dalam politik moden ini, sebaik mungkin adalah politik yang meraikan kepelbagaian, kepelbagaian bangsa, kepelbagaian etnik, kepelbagaian agama dan sebagainya dalam satu parti politik. jadi itu yang sebaik-baiknya,” ujarnya.
Bahaya sentimen perkauman
Dr. Mohammad Tawfik turut berpandangan bahawa dominasi parti berasaskan satu kaum berpotensi mendorong eksploitasi sentimen perkauman demi meraih sokongan politik.
“Sentimen perkauman akan kuat dimainkan kalau hanya parti-parti politik berasaskan kaum sahaja yang aktif dan mendapat sokongan.
“Maka mereka akan menggunakan isu ataupun sentimen perkauman ini sebagai modal untuk meraih lebih besar pengaruh dan sokongan daripada kumpulan-kumpulan etnik tertentu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau melihat model gabungan seperti Barisan Nasional (BN) sebagai satu mekanisme yang dapat menjaga kepentingan semua kaum melalui perkongsian kuasa, walaupun terdapat parti dominan.
“Walaupun UMNO dianggap abang besar, ruang dan peluang masih diberikan kepada kaum-kaum lain melalui parti komponen.
“Ini satu model yang boleh menjaga kepentingan semua,” jelasnya.
Namun, dalam konteks Muafakat Nasional (MN), beliau menegaskan keperluan keterbukaan yang lebih luas.
Jika MN kekal eksklusif kepada Melayu dan Islam sahaja, saya bimbang orang bukan Melayu akan semakin menjauhkan diri daripada UMNO dan PAS,” katanya.
Tambah beliau, MN perlu mencontohi pendekatan Perikatan Nasional (PN) yang lebih inklusif.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kewujudan parti berasaskan identiti selagi tidak bersifat ekstrem.
“Walaubagaimanapun sekiranya parti politik itu masih lagi hendak didirikan berasaskan identiti etnik dan sebagainya masih lagi okey.
“Tetapi mereka jangan terlalu konservatif, jangan terlalu ekstrem sehinggakan menafikan hak-hak orang lain yang termaktub dalam Perlembagaan dan sebagainya,” jelasnya.
Prestasi, bukan sentimen
Dr. Mohd Yusri turut mengkritik kecenderungan sesetengah parti memanipulasi emosi perkauman dan keagamaan.
“Masalah utama sekarang ialah parti politik menggunakan sentimen perkauman untuk mendapat sokongan mudah.
“Sepatutnya fokus kepada hala tuju, polisi dan prestasi,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Muafakat Nasional bukan pemilik mutlak politik Melayu-Islam.
“Pada pandangan saya, Muafakat Nasional bukan pemilik mutlak kepada gabungan parti yang bersifat Melayu dan Islam.
“Mereka tidak memiliki ‘privilege’, mereka tidak memiliki tekad untuk mendakwa mereka pemilik mutlak dalam konteks parti berorientasikan Melayu dan Islam.
“Maksudnya dengan kata lain, siapa sahaja parti lain, gabungan parti lain yang ingin menubuhkan parti seumpamanya yang bersifat Melayu dan Islam, tidak ada masalah,” ujarnya.
Politik identiti dan kolonialisme
Pandangan lebih kritikal dikemukakan oleh Penganalisis Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib, yang menyifatkan politik identiti di Malaysia sebagai kesan jangka panjang warisan kolonial.
“Sukar untuk membentuk parti politik melayu walapun telah ada cubaan seperti DAP dan PKR, dominasi kaum tertentu masih mewakili parti tersebut walaupun telah buka keahlian kepada pelbagai kaum.
“Ini adalah kesan ilmu kolonial menerusi banci sejak 1887 memperkenalkan kategori kaum atau etnik dan kekal hingga kini,” katanya.
Beliau turut menyentuh peranan sekolah vernakular dalam mengukuhkan politik identiti.
“Lebih berakar ialah sekolah vernakular, maka lebih tebal sifat politik identiti, walau telah ada usaha mewujudkan satu sekolah, satu bahasa.
“Sentimen ini dimainkan oleh bukan Melayu, mereka taasub dengan identiti etnik mereka dan kemudian menunding jari kepada orang asal yang menolak inklusiviti kononnya,” tegasnya.
Menurut beliau, Malaysia sebenarnya tidak menghadapi masalah perkauman secara mutlak.
“Di Malaysia, tiada sentimen perkauman, yang ada adalah kepentingan etnik yang dijuarai oleh komuniti masing-masing.
“Ramai yang keliru dan gagal membezakan antara ‘racism’ and ‘racial interest’,” jelasnya.
Permuafakatan kunci kestabilan
Prof. Dr. Kartini berpandangan bahawa pembentukan kerajaan yang stabil di Malaysia berasaskan permuafakatan dan perkongsian kuasa.
“DNA kestabilan politik Malaysia ialah permuafakatan. Sebab itu sukar membentuk kerajaan hanya berasaskan satu kaum atau satu identiti,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kewujudan parti berasaskan etnik tidak bercanggah dengan prinsip demokrasi.
“Ia adalah implikasi kebebasan demokrasi untuk membentuk parti berasaskan kepentingan etnik selagi patuh kepada undang-undang,” katanya.
Sementara itu, Dr. Mohammad Tawfik bimbang pengaruh bukan Melayu akan merosot, dalam masa sesebuah parti perlukan sokongan semua kaum bagi memenangi pilihan raya.
“Saya bimbang pengaruh MN dalam kalangan bukan Melayu akan semakin merosot, kita tidak boleh nafi ada bukan Melayu juga yang sokong MN namun untuk menang dalam pilihan raya mestilah dapat pengaruh dan sokongan yang besar maka parti itu tak bolehlah eksklusif sahaja kepada orang Melayu. mestilah tunjukkan keterbukaan perlibatan parti bukan Melayu dan orang Melayu.
“Secara keseluruhannya dalam MN seperti mana yang dilakukan oleh Barisan Nasional dan Perikatan Nasional itu sepatutnya MN kena laksanakan bukan menunjukkan eksklusiviti kepada orang Melayu sahaja,” katanya.
Secara keseluruhan, para penganalisis sepakat bahawa masa depan politik Malaysia tidak boleh lari daripada realiti kepelbagaian masyarakat.
Sama ada melalui parti pelbagai kaum atau gabungan berasaskan perkongsian kuasa, keterbukaan, inklusiviti dan fokus kepada prestasi serta dasar awam dilihat sebagai kunci untuk memastikan kestabilan dan keharmonian negara terus terpelihara. – The Merdeka Times