Terkini
Kuil tanpa izin bukan isu agama, Tapi isu undang-undang dan penguatkuasaan – Peguam
- Peguam, Malcolm Fernandez menolak kecenderungan sesetengah pihak yang mengaitkan isu itu sebagai Islam ‘vs’ Hindu.
- “Ini bukan isu bertentangan agama. Bukan Islam versus Hindu. Ini berbalik kepada pembinaan sesuatu di atas tanah yang sudah dimiliki samada oleh pengusaha kilang, rumah secara tanpa izin. Maka tiada kena mengena dengan agama,” tegas beliau.
- Peguam Kanan, Haniff Khatri berkata Malaysia sebenarnya memiliki rangka undang-undang yang mencukupi untuk menangani isu rumah ibadat tidak sah, namun masalah timbul apabila undang-undang tersebut tidak digunakan secara betul dan tegas.
KUALA LUMPUR – Isu kuil tanpa izin di Malaysia tidak sepatutnya terus diputar menjadi pertembungan antara agama, sebaliknya perlu dilihat sebagai isu undang-undang, pencerobohan tanah serta kegagalan penguatkuasaan, tegas dua peguam dalam program bual bicara Analisis Bersama Finaz Yunus terbitan The Merdeka Times.
Peguam Malcolm Fernandez menegaskan bahawa mana-mana struktur yang dibina tanpa kebenaran di atas tanah, sama ada kuil, tokong, gereja atau masjid, tetap merupakan kesalahan dari sudut perundangan dan wajib diselesaikan menerusi akta sedia ada.
“Tak kisah tempat ibadat atau apa-apa struktur. Isu ini patut diselesaikan menerusi akta-akta sedia ada. Pihak tidak bertanggungjawab mengelirukan masyarakat dan membawa masuk isu agama,” katanya.
Malcolm turut menolak kecenderungan sesetengah pihak yang mengaitkan isu itu sebagai Islam vs Hindu.
“Ini bukan isu bertentangan agama. Bukan Islam versus Hindu. Ini berbalik kepada pembinaan sesuatu di atas tanah yang sudah dimiliki oleh pengusaha kilang ke rumah secara tanpa izin.
“Maka tiada kena mengena dengan agama,” tegas beliau.
Malcolm menegaskan, isu ini tidak wajar dijadikan “modal” untuk mencetus ketegangan kaum dan agama kerana akar sebenar permasalahan berkait rapat dengan Kanun Tanah Negara serta proses kelulusan pembinaan.
Sementara itu, Peguam Kanan, Haniff Khatri berkata Malaysia sebenarnya memiliki rangka undang-undang yang mencukupi untuk menangani isu rumah ibadat tidak sah, namun masalah timbul apabila undang-undang tersebut tidak digunakan secara betul dan tegas.
Menurutnya, terdapat dua bentuk mekanisme yang boleh digunakan dalam isu berkaitan kuil tanpa izin iaitu melalui jenayah dan sivil.
“Kita mempunyai undang-undang yang lengkap. Dua bentuk undang-undang boleh digunapakai… pertama jenayah, kedua sivil,” katanya.
Haniff menjelaskan bahawa dari sudut jenayah, pencerobohan tanah persendirian boleh diambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan, antaranya Seksyen 471, yang membolehkan laporan polis dibuat sekiranya berlaku pencerobohan ke atas tanah awam atau swasta.
Beliau menekankan bahawa pihak penguatkuasa sepatutnya bertindak lebih efisien menyiasat dakwaan pencerobohan, menyediakan kertas siasatan dan mengemukakannya kepada pendakwa raya.
“Pendakwa raya kena berani tanpa melihat kepada isu yang mungkin menimbulkan gusaran sosial,” katanya lagi.
Bagi kes melibatkan pencerobohan tanah kerajaan pula, Haniff menyatakan ia tertakluk di bawah Kanun Tanah Negara, termasuk Seksyen 425 yang memperuntukkan pencerobohan tanah kerajaan sebagai kesalahan.
Beliau turut menyebut bahawa pindaan undang-undang pada tahun 2016 memperuntukkan hukuman yang lebih berat bagi pencerobohan tanah kerajaan, termasuk penalti boleh mencecah RM500,000.
Selain tindakan jenayah, Haniff turut menegaskan bahawa pihak swasta juga boleh menggunakan saluran tindakan sivil sekiranya tidak mendapat bantuan sewajarnya daripada pihak pelaksana.
“Pemilik tanah boleh membawa kes ke mahkamah sivil untuk memperoleh perintah termasuk pengusiran dan perobohan struktur yang dibina tanpa kebenaran,” ujarnya. -The Merdeka Times