Terkini
Kolaborasi agung: Jangan cepat buruk sangka, Usaha satukan Melayu perlu disokong
- “Saya yakin ada kumpulan tertentu dalam parti Melayu pembangkang yang tidak bersetuju. Tapi mereka kena ingat jangan meletakkan jangkaan dan persepsi negatif terlebih awal sebelum menyertai kolaborasi agung. Siapa saja yang menggerakkan usaha perpaduan perlu disokong, perpaduan Melayu bukan eksklusif milik mana-mana parti atau pemimpin,” – Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub
- Baru-baru ini media melaporkan, UMNO akan memanggil dan mengundang 10 pemimpin tertinggi setiap parti politik Melayu dan Islam untuk memulakan usaha pembentukan kolaborasi agung dalam masa terdekat.
KUALA LUMPUR – Penganalisis politik, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub menegaskan pihak dalam parti Melayu pembangkang yang tidak bersetuju dengan gagasan “kolaborasi agung” tidak wajar meletakkan persepsi negatif terlalu awal, sebaliknya perlu melihat usaha itu sebagai ruang menyatukan semula orang Melayu yang berpecah.
“Saya yakin ada kumpulan tertentu dalam parti Melayu pembangkang yang tidak bersetuju. Tapi mereka kena ingat jangan meletakkan jangkaan dan persepsi negatif terlebih awal sebelum menyertai kolaborasi agung. Siapa saja yang menggerakkan usaha perpaduan perlu disokong, perpaduan Melayu bukan eksklusif milik mana-mana parti atau pemimpin,” katanya sewaktu dihubungi The Merdeka Times.
Baru-baru ini media melaporkan, UMNO akan memanggil dan mengundang 10 pemimpin tertinggi setiap parti politik Melayu dan Islam untuk memulakan usaha pembentukan kolaborasi agung dalam masa terdekat.
Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada sebarang perjanjian atau syarat ditetapkan dalam memulakan usaha ini.
Menurut Dr Tawfik, walaupun kolaborasi tersebut berpotensi digunakan sebagai senjata politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), usaha menyatukan Melayu tetap wajar digerakkan sama ada melalui pendekatan politik mahupun gerakan sosial yang melangkaui ideologi.
Dr Tawfik berpandangan perpaduan Melayu kini semakin mendesak memandangkan wujud perpecahan yang menurutnya berpunca daripada tindakan segelintir pemimpin yang lebih terdorong oleh kerakusan kuasa, termasuk akibat kekecewaan tidak terpilih menjadi kerajaan atau tewas dalam konflik dalaman parti.
Mengulas konsep kolaborasi agung, beliau menyifatkan gagasan itu mempunyai elemen mirip Confidence and Supply Agreement (CSA) atau Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan yang pernah berlaku sebelum ini, namun tidak melibatkan perjanjian bertulis sebaliknya terikat dengan keikhlasan, kejujuran serta kepercayaan antara parti-parti Melayu pembangkang dan UMNO untuk menyokong isu terpilih bagi menjamin kestabilan politik sehingga PRU16.
Bagaimanapun, beliau tidak melihat kolaborasi tersebut sebagai faktor yang boleh meruntuhkan kerajaan atau merosakkan hubungan UMNO dengan PKR dan DAP kerana ia tidak mengikat dalam bentuk perjanjian formal, walaupun beliau tidak menolak kemungkinan berlaku pergeseran antara pemimpin sekiranya timbul isu yang memerlukan komitmen eksklusif daripada parti-parti kerajaan perpaduan.
Beliau turut menjangkakan pengundi Melayu akan lebih realistik dalam membuat pilihan sama ada menyokong parti yang bersedia berdamai di bawah payung kolaborasi agung, atau memilih parti Melayu yang terus mengekalkan sengketa politik serta kekal sebagai pembangkang tegar.
Tegas beliau, perpaduan Melayu tidak seharusnya dilihat sebagai agenda milik eksklusif mana-mana parti, sebaliknya perlu digerakkan secara menyeluruh demi menyatukan semula masyarakat Melayu yang semakin berpecah akibat pertarungan politik dan pertelingkahan kepimpinan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Presiden UMNO berkata, rancangan penubuhan kolaborasi agung ini hadir, hasil pertemuannya dengan pemimpin parti politik Melayu lain termasuk PAS dan BERSATU serta pihak-pihak lain sebelum ini. – The Merdeka Times