Connect with us

Terkini

Ketelusan siasatan dalaman ATM dipersoal – A. Kadir Jasin

Published

on

Foto: Wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin.
  • “Yang mengarah siasatan ialah Kementerian Pertahanan, Menteri Pertahanan menjaga Ketua Turus Angkatan Tentera, dan Ketua Turus pula menjaga anggota tentera. Jadi bolehkah orang dalam rantaian perintah ini diharap menyiasat kegagalan yang mereka sendiri sepatutnya awasi dan cegah?” – Wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin
  • Beliau turut menyifatkan arahan Kementerian Pertahanan kepada ATM yang disampaikan melalui kenyataan akhbar Unit Komunikasi Strategik sebagai lemah dan tidak meyakinkan, sambil mempersoalkan ketiadaan Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin, untuk tampil memberikan penjelasan secara langsung.

KUALA LUMPUR – Wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin, mempersoalkan keberkesanan siasatan dalaman oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung dakwaan salah guna kuasa dan salah laku anggota tentera, sambil menegaskan wujud konflik kepentingan yang serius dalam rantaian perintah (chain of command).

Menurut beliau, dalam kes yang diperkatakan, individu yang didakwa membawa masuk orang awam ke mes tentera serta melakukan perbuatan tidak bermoral adalah anggota tentera sendiri, manakala siasatan pula diarahkan untuk dijalankan oleh ATM yang berada dalam struktur hierarki sama.

“Yang mengarah siasatan ialah Kementerian Pertahanan, Menteri Pertahanan menjaga Ketua Turus Angkatan Tentera, dan Ketua Turus pula menjaga anggota tentera. Jadi bolehkah orang dalam rantaian perintah ini diharap menyiasat kegagalan yang mereka sendiri sepatutnya awasi dan cegah?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau menegaskan bahawa sekiranya perkara tidak elok berlaku dan melibatkan anggota ATM, maka tanggungjawab utama terletak kepada kepimpinan tertinggi, bermula daripada Menteri Pertahanan, diikuti Ketua Turus Angkatan Tentera serta pegawai-pegawai atasannya.

Mengulas aspek keselamatan ketenteraan, A. Kadir Jasin berkata unsur “stealth” atau kerahsiaan adalah tunjang kepada kekuatan tentera.

Namun, apabila salah guna kuasa berlaku secara terbuka dan melibatkan berpuluh-puluh kontraktor serta orang awam, ia jelas menunjukkan bahawa kerahsiaan dan integriti ATM telah terjejas.

Beliau turut mengaitkan isu tersebut dengan kewujudan kartel, sindiket dan pakatan jahat dalam kerajaan yang menurutnya menjadikan agenda penghapusan rasuah dan pendisiplinan birokrasi sekadar janji kosong selagi tidak ditangani secara tegas.

A. Kadir Jasin menarik perhatian bahawa tuduhan salah guna kuasa melibatkan kepimpinan tertinggi ATM yang dilaporkan berlaku antara 2023 hingga 2025 berlaku ketika era Kerajaan Madani, di mana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadikan pembanterasan rasuah sebagai agenda utama pentadbirannya.

Dalam konteks itu, beliau menyifatkan arahan Kementerian Pertahanan kepada ATM yang disampaikan melalui kenyataan akhbar Unit Komunikasi Strategik sebagai lemah dan tidak meyakinkan, sambil mempersoalkan ketiadaan Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin, untuk tampil memberikan penjelasan secara langsung.

“Maaflah kalau saya kata, arahan Kementerian Pertahanan kepada ATM, yang dibuat melalui kenyataan akhbar oleh Unit Komunikasi Strategik, adalah “flimsy”.

“Mana Menteri Pertahanan (Mohamed Khaled Nordin)? Siasatan dalaman oleh jabatan sendiri, seperti yang diarahkan itu, selalunya tidak membawa ke mana-mana. Habis-habis sangat “tidakan disiplin” ala kadar (slap on the wrist),” tegas beliau.

Sehubungan itu, A. Kadir Jasin mencadangkan agar siasatan melibatkan badan bebas seperti Ombudsman, sebagaimana yang sedang dirangka dalam pelan Reformasi Institusi.

Menurutnya, Rang Undang-Undang Ombudsman bertujuan memperkukuh tadbir urus, memastikan semak dan imbang, melindungi pemberi maklumat serta memulihkan kepercayaan rakyat terhadap institusi awam.

Beliau menegaskan bahawa isu salah guna kuasa, rasuah dan ketidakdisiplinan dalam Kementerian Pertahanan bukanlah perkara baharu, dan jika kerajaan benar-benar serius membanterasnya, sudah lama ramai pelaku  besar dan kecil dibawa ke muka pengadilan.

“Malangnya, lebih banyak cakap daripada tindakan. Akhirnya, keadaan kembali ke asal, itu sebab tak ke mana,” katanya.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author