Terkini
Kaitkan Malaysia apartheid: Wartawan rasis, tanda kegagalan etika – Pensyarah
- “Yang paling membimbangkan ialah apabila wartawan sendiri terperangkap dengan sentimen rasis. Bila ini berlaku, kewartawanan tidak lagi menjelaskan atau mencerdikkan, sebaliknya membakar emosi dan mengeruhkan keadaan. Ia tanda kegagalan profesional dan etika.” – Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM, Dr. Shafezah Abdul Wahab
- “Saya melihat isu melibatkan wartawan FMT ini perlu ditegur dengan jelas dan tegas. Menyamakan kedudukan orang Melayu di Malaysia dengan sistem apartheid terhadap kaum Cina sebenarnya bukan soalan kritikal, tapi satu dakwaan yang berat,” katanya.
KUALA LUMPUR – Tindakan seorang wartawan portal berita Free Malaysia Today (FMT) yang mengemukakan soalan menyamakan kedudukan orang Melayu dan Cina di Malaysia dengan sistem apartheid Israel terhadap rakyat Palestin, disifatkan sebagai wartawan yang terperangkap dengan sentimen rasis.
Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Shafezah Abdul Wahab berkata apabila perkara tersebut berlaku, kewartawanan tidak lagi menjelaskan atau mencerdikkan, sebaliknya membakar emosi dan mengeruhkan keadaan.
“Yang paling membimbangkan ialah apabila wartawan sendiri terperangkap dengan sentimen rasis. Bila ini berlaku, kewartawanan tidak lagi menjelaskan atau mencerdikkan, sebaliknya membakar emosi dan mengeruhkan keadaan.Ia tanda kegagalan profesional dan etika,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.
Tambah beliau, isu tersebut perlu ditegur dengan jelas dan tegas kerana ia bukan sekadar soalan kritikal, sebaliknya satu dakwaan berat yang tidak berfakta dan tidak berasas.
“Saya melihat isu melibatkan wartawan FMT ini perlu ditegur dengan jelas dan tegas. Menyamakan kedudukan orang Melayu di Malaysia dengan sistem apartheid terhadap kaum Cina sebenarnya bukan soalan kritikal, tapi satu dakwaan yang berat.
“Ia tidak berfakta, tidak berasas dan lebih nampak seperti tuduhan daripada usaha untuk benar-benar mendapatkan penjelasan yang adil dan seimbang,” tegasnya.
Menurut Dr. Shafezah, kebebasan media di Malaysia tidak boleh disalah tafsir sebagai lesen untuk mengemukakan soalan berasaskan emosi atau menggunakan istilah yang sarat dengan makna politik dan moral tanpa konteks yang tepat.
“Wartawan memang ada hak untuk bertanya soalan kritikal, tetapi hak itu datang dengan tanggungjawab untuk faham apa yang ditanya dan kesannya kepada masyarakat.
“Bila soalan dibina atas sentimen perkauman, media sudah lari daripada peranan mendidik dan mula menyumbang kepada perpecahan,” jelasnya.
Semalam, The Merdeka Times melaporkan, Pendakwah bebas, Firdaus Wong mempersoal tindakan seorang wartawan Free Malaysia Today (FMT) yang didakwa mengaitkan polisi apartheid Israel terhadap Palestin dengan layanan orang Melayu terhadap masyarakat Cina di Malaysia, sambil menyifatkan perbandingan itu sebagai tidak berasas dan tidak intelektual.
Firdaus berkata, beliau merujuk kepada hantaran bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Mohd Zaid Ibrahim yang memuji ucapan pemimpin Parti Pekerja Britain, George Galloway, berkaitan isu konflik dan genosid di Gaza.
Namun menurut Firdaus, ketika sesi soal jawab, seorang wakil FMT didakwa bertanyakan kepada Galloway samada polisi apartheid Israel “menyerupai cara orang Melayu melayan orang Cina di Malaysia”.
Walaupun menegaskan bahawa wartawan berhak bertanya soalan kritikal dan tidak wajar diugut, Firdaus menekankan bahawa kebebasan bertanya bukan lesen untuk melemparkan soalan yang tidak disertakan fakta dan kajian mencukupi. – The Merdeka Times