Terkini
‘Jangan dangkal berfikir’ – Nasihat Exco Belia Negeri Sembilan kepada mahasiswa
- Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor mengingatkan Golongan belia hari ini agar tidak terperangkap dalam kedangkalan berfikir dan manipulasi maklumat, sebaliknya perlu membina keupayaan berfikir kritikal serta berpegang kepada prinsip kebenaran dalam mendepani landskap media dan teknologi yang semakin mencabar.
- “Belia hari ini hidup dalam era yang menuntut lebih daripada sekadar kemahiran teknikal. Mereka perlu mempunyai ketajaman daya fikir untuk membezakan antara realiti dan persepsi, serta prinsip yang teguh dalam mempertahankan kebenaran di tengah arus perubahan global,” katanya.
REMBAU — Golongan belia hari ini diingatkan agar tidak terperangkap dalam kedangkalan berfikir dan manipulasi maklumat, sebaliknya perlu membina keupayaan berfikir kritikal serta berpegang kepada prinsip kebenaran dalam mendepani landskap media dan teknologi yang semakin mencabar.
Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor berkata, generasi muda masa kini memikul tanggungjawab besar dalam memastikan kemajuan negara tidak dicemari oleh pengaruh yang boleh merosakkan minda dan keharmonian masyarakat.
“Belia hari ini hidup dalam era yang menuntut lebih daripada sekadar kemahiran teknikal. Mereka perlu mempunyai ketajaman daya fikir untuk membezakan antara realiti dan persepsi, serta prinsip yang teguh dalam mempertahankan kebenaran di tengah arus perubahan global,” katanya.
Menurut beliau, perkembangan teknologi dan media tanpa sempadan menjadikan maklumat bergerak pantas tanpa tapisan, sekali gus mewujudkan cabaran baharu kepada kestabilan sosiopolitik dan ekonomi negara sekiranya tidak ditangani dengan integriti serta etika komunikasi yang tinggi.
“Media bukan lagi sekadar hiburan. Ia adalah nadi kepada kestabilan negara. Tanpa kepakaran komunikasi yang beretika, masyarakat mudah terjerumus dalam krisis identiti dan manipulasi maklumat yang boleh menggugat keharmonian yang telah dibina,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan pemilihan tema #Disconnected sebagai satu agenda yang tepat dan relevan dalam memberi pendedahan kepada masyarakat, khususnya belia, tentang kepentingan bidang komunikasi dalam membentuk pemikiran, nilai dan kefahaman awam.
Dalam majlis sama, Datuk Mustapha turut menyaksikan pelancaran buku “Masscomm Rembau: Sedekad Kegemilangan” serta baju rasmi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, yang disifatkannya sebagai simbol kejayaan, identiti korporat dan kesinambungan kecemerlangan fakulti berkenaan.
“Saya percaya pelancaran ini melambangkan naratif kejayaan dan keupayaan fakulti untuk kekal relevan dalam mendepani arus pemodenan. Syabas atas usaha dan komitmen yang ditunjukkan,” katanya.
Beliau turut menyeru golongan mahasiswa dan belia agar memanfaatkan sepenuhnya platform ilmu dan perkongsian yang disediakan, termasuk program akademik dan wacana intelektual, sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan yang semakin mencabar.
“Seraplah seberapa banyak ilmu dan pengalaman yang dikongsi. Masa depan negara memerlukan belia yang berintelektual, berdaya saing dan mampan untuk meneruskan kesinambungan pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketikan berucap pada majlis perasmian pelancaran buku khas MassComm Rembau: Pulsing Through a Decennium sempena program COMMPULSE – Disconnected: A World ‘Without’ Media, yang berlangsung di Dewan Biduanda, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau baru-baru ini.-The Merdeka Times