Connect with us

Terkini

Jakel beri notis 7 hari pindah Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, sedia RM1 juta sebagai sumbangan

Published

on

Foto: Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
  • Menurut notis bertarikh 13 Januari, Jakel Trading Sdn. Bhd. memohon kerjasama segera pihak kuil untuk memindahkan struktur sedia ada supaya pembangunan dapat dimulakan dalam tempoh sebulan.
  • Syarikat itu memaklumkan peruntukan RM1 juta telah disediakan sebagai sumbangan, yang akan disalurkan melalui peguam Jakel selepas pengesahan bahawa tapak berkenaan dikosongkan sepenuhnya.
  • Notis itu turut menyatakan kegagalan mematuhi arahan tersebut akan menyebabkan syarikat menarik balik tawaran itu serta mengambil tindakan undang-undang bagi menguatkuasakan haknya sebagai pemilik tanah.

KUALA LUMPUR – Jakel Trading Sdn. Bhd. memberi tempoh tujuh hari kepada pengurusan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman untuk mengosongkan sebidang tanah milik syarikat itu di Jalan Munshi Abdullah di sini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembangunan.

Menurut notis bertarikh 13 Januari, syarikat tekstil berkenaan memohon kerjasama segera pihak kuil untuk memindahkan struktur sedia ada supaya pembangunan dapat dimulakan dalam tempoh sebulan.

Dalam surat yang ditandatangani Pengurus Besar Jakel Trading, Khadijah Mohd. Yatib, syarikat itu memaklumkan peruntukan sebanyak RM1 juta telah disediakan sebagai sumbangan, yang akan disalurkan melalui peguam Jakel selepas pengesahan bahawa tapak berkenaan dikosongkan sepenuhnya.

Notis itu turut menyatakan kegagalan mematuhi arahan berkenaan akan menyebabkan syarikat menarik balik tawaran tersebut serta mengambil tindakan undang-undang bagi menguatkuasakan haknya sebagai pemilik tanah.

Memetik laporan Malaysiakini, Pengarah Jakel Trading, Mohamed Nizam Mohamed Jakel, ketika dihubungi mengesahkan pengeluaran notis berkenaan dan berharap pihak kuil dapat mengosongkan tapak itu dalam tempoh ditetapkan.

“Saya menghantar surat itu kepada pihak kuil semalam. Kami berharap mereka dapat berpindah segera,” katanya.

Beliau turut menjelaskan sumbangan RM1 juta itu adalah berdasarkan persetujuan terdahulu antara Jakel Trading dan pihak pengurusan kuil.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, Karthik Gunaseelan berkata, pihaknya masih mendapatkan nasihat guaman berhubung notis tersebut dan berharap rundingan lanjut dapat diadakan.

Menurutnya, tempoh tujuh hari adalah tidak munasabah memandangkan pihak kuil masih belum memperoleh tapak baharu yang boleh digunakan sepenuhnya.

“Adakah mungkin sebuah kuil dipindahkan sepenuhnya dalam masa tujuh hari? Itu mustahil. Kami telah memaklumkan perkara ini kepada kerajaan dan terkejut kerana masih tiada kejelasan mengenai komitmen mereka,” katanya.

Beliau menambah, tanah baharu bagi pembinaan kuil telah diwartakan, namun beberapa proses pentadbiran masih perlu diselesaikan sebelum perpindahan dapat dilaksanakan sepenuhnya.

“Kami sedih dengan situasi ini dan berharap semua pihak dapat mencari penyelesaian yang adil,” katanya.

Pertikaian berhubung status tanah Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman mula mendapat perhatian umum tahun lalu susulan sidang media pada 20 Mac lalu yang dianjurkan Lawyers for Liberty bersama bekas Presiden Badan Peguam Malaysia, Datuk Ambiga Sreenevasan serta ahli jawatankuasa pengurusan kuil berkenaan.

Sidang media itu diadakan sebagai reaksi terhadap rancangan Jakel Trading Sdn. Bhd. untuk membangunkan sebuah masjid di atas tanah berkenaan, sekali gus memerlukan pemindahan kuil yang masih beroperasi di lokasi asalnya di Jalan Bunus Enam, bertentangan dengan Jakel Mall.

Penyokong usaha pemeliharaan warisan kuil berhujah rumah ibadat itu mempunyai nilai sejarah yang panjang kerana didakwa telah wujud sejak era penjajahan British dan menjadi tempat ibadah beberapa generasi. 

Namun, pihak yang mengkritik menegaskan kuil berkenaan tidak mempunyai sebarang tuntutan undang-undang ke atas tanah tersebut yang telah dijual oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada Jakel Trading.

Berikutan bantahan awam, beberapa perbincangan diadakan melibatkan pihak Jakel Trading, jawatankuasa kuil dan DBKL. 

Hasilnya, DBKL bersetuju menyediakan tapak alternatif kira-kira 50 meter dari lokasi sedia ada dalam kawasan sekitar Jalan Masjid India, dan persetujuan itu turut dipersetujui oleh pengerusi kuil.

Bagaimanapun, walaupun pelan penempatan semula telah diumumkan, kuil berkenaan masih belum dipindahkan secara fizikal dan terus beroperasi di tapak asal, sementara menunggu pemuktamadan pengaturan perpindahan, dengan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan memaklumkan sebidang tanah seluas 4,000 kaki persegi akan diwartakan secara kekal bagi tujuan tersebut. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author