Terkini
Isu Rex Tan: Penyebar kandungan api sentimen tidak terlepas siasatan – Fahmi
- Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, siasatan tidak seharusnya tertumpu semata-mata kepada organisasi media tersebut memandangkan rakaman berkenaan bukan terbitan syarikat media, sebaliknya dibuat oleh orang awam dan disebarluaskan di platform digital.
- “Jadi di situ saya nampak mereka yang menyebarkan kandungan untuk mengapikan sentimen juga tidak boleh terlepas daripada siasatan dari pihak berkuasa,” katanya.
KUALA LUMPUR – Individu yang menyebarkan kandungan video untuk mengapi-apikan sentimen awam berhubung kes melibatkan bekas wartawan portal Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan, tidak boleh terlepas daripada siasatan pihak berkuasa, tegas Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, siasatan tidak seharusnya tertumpu semata-mata kepada organisasi media tersebut memandangkan rakaman berkenaan bukan terbitan syarikat media, sebaliknya dibuat orang awam dan disebarluaskan di platform digital.
Menurutnya, dalam konteks tersebut, isu berkenaan juga tidak boleh dilihat secara langsung sebagai kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia, sebaliknya perlu diteliti dari sudut penyebaran kandungan yang boleh mencetuskan salah faham dan sentimen awam.
“Dalam kes bekas wartawan FMT, Rex Tan, ia bukan terbitan syarikat media tapi adalah rakaman yang dibuat oleh orang awam dan disebarluaskan.
“Jadi ia sebenarnya bukan isu berkait Akta Komunikasi dan Multimedia tapi ia adalah rakaman yang dibuat oleh orang awam terhadap soalan yang ditanya oleh wartawan,” katanya dalam satu klip video yang dimuat naik di TikTok Utusan Melayu Plus.
Fahmi berkata, hasil penelitian mendapati individu yang memuat naik video berkenaan telah meletakkan naratif mengelirukan sedangkan pihak FMT sendiri mengakui soalan tersebut tidak pernah ditanya.
Justeru, katanya, tindakan menyebarkan kandungan bagi mengapi-apikan sentimen itu tidak wajar dan tidak boleh terlepas daripada siasatan pihak berkuasa.
“Dalam konteks itu, jadi itu saya lihat dan saya teliti orang yang memuat naik kandungan itu meletakkan perkataan yang pihak FMT juga mengaku kepada saya dalam perbincangan wartawan itu tidak bertanya soalan itu tapi video telah dimuat naik dan diberi gambaran yang lebih.
“Jadi di situ saya nampak mereka yang menyebarkan kandungan untuk mengapikan sentimen juga tidak boleh terlepas daripada siasatan dari pihak berkuasa,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, Rex, 31, ditahan polis susulan soalan kontroversi dikemukakannya dalam satu wacana awam bertajuk ‘Gaza Exposes the Complicity of International Actors’ yang menampilkan ahli politik Britain, George Galloway. – The Merdeka Times.