Terkini
Isu ceroboh tanah kubur Islam: MAIS tegas tolak seruan boikot Zakat Selangor
- Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, tindakan tersebut bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah memberi kesan besar kepada golongan asnaf serta pembangunan harta wakaf di Selangor.
- Beliau turut menegaskan sebarang tindakan yang menganjurkan boikot terhadap zakat dan wakaf hanya akan merugikan masyarakat Islam.
- Dalam pada itu, Salehuddin berkata, MAIS sentiasa memantau sebarang pencerobohan ke atas tapak masjid, surau dan institusi agama Islam di Selangor
KUALA LUMPUR – Seruan di media sosial yang mengajak umat Islam di Selangor supaya tidak menunaikan zakat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) serta tidak melaksanakan wakaf di negeri ini susulan isu pencerobohan tanah perkuburan Islam di PJS4 disifatkan sebagai suatu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, tindakan tersebut bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah memberi kesan besar kepada golongan asnaf serta pembangunan harta wakaf di Selangor.
“Merujuk kepada muatnaik oleh Fikk(@riieey_f) di media sosial Threads bertarikh 26 Januari 2026 dan respon yang diterima dalam muatnaik tersebut yang menyeru orang Islam di Negeri Selangor untuk tidak membuat bayaran zakat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) serta melaksanakan wakaf di Negeri Selangor disebabkan isu pencerobohan ini, ia adalah suatu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab.
“Hal ini kerana ia bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah ia akan menjejaskan hak golongan asnaf di Negeri Selangor untuk menerima bantuan daripada kutipan zakat serta merencatkan usaha membangun dan memajukan harta wakaf di Negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.
Salehuddin menjelaskan bahawa sebarang tindakan berkaitan isu pencerobohan tanah perkuburan Islam di PJS4 adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Selangor dan tindakan penguatkuasaan sedang diuruskan oleh kerajaan negeri mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.
Beliau turut menegaskan sebarang tindakan yang menganjurkan boikot terhadap zakat dan wakaf hanya akan merugikan masyarakat Islam.
“MAIS menegaskan bahawa LZS bertanggungjawab mengurus, mengutip dan mengagihkan zakat kepada lapan golongan asnaf di Negeri Selangor demi meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi mereka, manakala PWS pula bertanggungjawab mengurus, membangun dan memajukan harta wakaf di Negeri Selangor bagi memastikan wakaf dapat dimanfaatkan secara berterusan demi kepentingan umat Islam.
“Tindakan yang menganjurkan boikot sedemikian hanya akan merugikan masyarakat Islam dan menjejaskan kepentingan dan kesejahteraan masyarakat Islam di Negeri Selangor,” katanya.
Dalam pada itu, Salehuddin berkata, MAIS sentiasa memantau sebarang pencerobohan ke atas tapak masjid, surau dan institusi agama Islam di Selangor.
“Namun demikian, jika tanah yang terlibat merupakan tanah Kerajaan Negeri yang diwartakan sebagai maksud awam bagi tujuan agama Islam, MAIS sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk memastikan tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya diambil bagi mengatasi isu pencerobohan yang berlaku,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi, tuduhan, fitnah atau menyebarkan maklumat yang tidak benar berhubung isu berkenaan.
“Sebarang maklumat lanjut dan pengesahan hendaklah dirujuk melalui saluran rasmi pihak berkuasa yang berkaitan,” ujarnya. – The Merdeka Times