Terkini
Istilah ‘kuil haram’, bukan merujuk anutan agama, usah salah tafsir – Peguam
- Peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla membidas kenyataan yang mendakwa istilah ‘kuil haram’ adalah salah, menghina agama Hindu serta tidak sah di sisi undang-undang.
- “Pihak-pihak yang mahu faham maksud ‘haram’ di situ patut arif dengan bahasa Melayu. Haram di sini bermaksud tidak mengikut undang-undang, bukan merujuk kepada anutan agama itu,” tegasnya.
- “Kalau tak pandai bahasa, jangan salah gunakan maksud perkataan suci. Kalau tak reti menari, jangan salahkan lantai itu,” katanya.
KUALA LUMPUR – Peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla membidas kenyataan yang mendakwa istilah “kuil haram” adalah salah, menghina agama Hindu serta tidak sah di sisi undang-undang.
Beliau sebaliknya menegaskan bahawa istilah ‘haram’ dalam konteks tersebut tidak merujuk kepada anutan agama, tetapi membawa maksud tidak mematuhi undang-undang atau dibina tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Menurut Haniff, penggunaan istilah ‘haram’ tidak boleh disalah tafsir sehingga mencetus ketegangan antara agama, malah orang ramai perlu memahami maksud sebenar istilah itu dalam bahasa Melayu.
“Pihak-pihak yang mahu faham maksud ‘haram’ di situ patut arif dengan bahasa Melayu. Haram di sini bermaksud tidak mengikut undang-undang, bukan merujuk kepada anutan agama itu,” tegasnya ketika menjadi panel program Analisis bersama Finaz Yunus terbitan The Merdeka Times.
Haniff turut menyindir pihak yang memanipulasi maksud istilah tersebut.
“Kalau tak pandai bahasa, jangan salah gunakan maksud perkataan suci. Kalau tak reti menari, jangan salahkan lantai itu,” katanya.
Terdahulu, Arun Dorasamy yang dilapor mewakili unit undang-undang sebuah entiti berkaitan komuniti Hindu menyifatkan istilah ‘kuil haram’ sebagai tidak tepat dari segi undang-undang, didakwa bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta berbahaya kepada keharmonian masyarakat.
Dalam kenyataannya, Arun mendakwa isu berkaitan pemilikan tanah, ketiadaan kelulusan atau pendudukan sementara tidak seharusnya melabel sesebuah kuil sebagai haram, malah mencadangkan istilah lain seperti struktur tanpa kelulusan atau isu status tanah.
Beliau turut mendakwa bahawa penggunaan istilah ‘kuil haram’ secara terbuka boleh membuka ruang siasatan di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – The Merdeka Times