Connect with us

Terkini

Isham Jalil persoal pelaksanaan Darjah Satu umur enam tahun, dakwa dibuat tergesa-gesa

Published

on

Foto: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil.
  • Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil mempersoalkan keputusan kerajaan untuk melaksanakan kemasukan Darjah Satu pada umur enam tahun bermula 2027, yang disifatkannya dibuat secara tergesa-gesa tanpa mekanisme pelaksanaan yang jelas.
  • Isham yang pernah terlibat secara langsung dalam perangkaan dasar kerajaan berkata, pengumuman di peringkat Perdana Menteri dan menteri sepatutnya disertai dengan penjelasan terperinci mengenai mekanisme pelaksanaan.
  • Mengulas lanjut, Isham berkata penggunaan istilah ‘bersedia’ tanpa takrifan jelas hanya menambah kekeliruan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kanak-kanak berusia empat hingga lima tahun.

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil mempersoalkan keputusan kerajaan untuk melaksanakan kemasukan Darjah Satu pada umur enam tahun bermula 2027, yang disifatkannya dibuat secara tergesa-gesa tanpa mekanisme pelaksanaan yang jelas.

Menurut beliau, walaupun menyokong pendidikan awal kanak-kanak, pengumuman dasar tersebut menimbulkan pelbagai persoalan besar khususnya dari sudut kesiapsiagaan sistem pendidikan negara.

Namun, beliau menegaskan ketidaksetujuannya terhadap pendekatan pelaksanaan dasar itu yang dikatakan fleksibel dan bersifat pilihan (optional), selain akan bermula seawal 2027.

“Saya tiada masalah, saya menyokong dengan pendidikan awal kanak-kanak sebab lagi cepat kita letak anak-anak kita belajar lagi bagus sebenarnya.

“Bila dia buat 2027 maka pelaksanaan itu atau mekanisme pelaksanaan itu tergesa-gesa. Ini melibatkan beratus ribu, mungkin sejuta anak-anak kita. Kalau satu batch 400,000 ke 500,000 pelajar, bila budak enam tahun dan tujuh tahun masuk serentak, jumlah itu boleh jadi hampir sejuta,” katanya.

Isham yang pernah terlibat secara langsung dalam perangkaan dasar kerajaan berkata, pengumuman di peringkat Perdana Menteri dan menteri sepatutnya disertai dengan penjelasan terperinci mengenai mekanisme pelaksanaan.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan bahawa dasar tersebut adalah pilihan, sambil menegaskan realiti pemikiran ibu bapa di Malaysia.

“Bila Perdana Menteri umum macam itu, pada saya ia tergesa-gesa kerana melibatkan kira-kira satu juta anak-anak, jadi itu yang saya tanya apa mekanismenya ini macam mana kamu nak buat.

“Kemudian, katanya ia adalah pilihan, bila diletakkan sebagai pilihan biasanya dalam kerajaan kita akan tengok apa implikasi-implikasi keputusan kerajaan ini sebab ini bukan syarikat kecil bukan satu institusi kecil bila kamu buat sesuatu keputusan itu melibatkan orang-orang di bawah kamu.

“Mana ada ibu bapa yang nak anak-anak ketinggalan, tidak masuk akal bila kamu kata pilihan. Rata-rata ibu bapa akan masukkan anak mereka pada umur enam tahun sebab tak ada siapa nak anak dia ketinggalan.

“Bila dinyatakan kalau rasa anak dah bersedia, benda-benda macam ini yang menimbulkan banyak persoalan satu persoalan,” tegasnya. 

Mengulas lanjut, Isham berkata penggunaan istilah ‘bersedia’ tanpa takrifan jelas hanya menambah kekeliruan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kanak-kanak berusia empat hingga lima tahun.

Beliau turut mengkritik pengumuman susulan oleh Kementerian Pendidikan, Fadhlina Sidek, mengenai pelaksanaan ujian diagnostik, yang disifatkannya sebagai satu keputusan besar yang tidak sepatutnya diumumkan secara berperingkat selepas menerima kritikan.

“Ujian diagnostik ini bukan benda kecil. Itu macam nak perkenalkan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atau satu bentuk penilaian besar kepada anak-anak kecil. 

“Perkara Ini sepatutnya diumumkan dengan jelas dari awal oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri,” katanya.

Menurut beliau, pengumuman yang berubah-ubah memberi gambaran seolah-olah kerajaan membuat keputusan secara ‘afterthought’.

“Beliau bagi jawapan (memberi solusi) selepas netizen bising, orang persoal, barulah keluar kenyataan ujian diagnostik, lepas itu psikososial pula. Ini nampak macam tikus membaiki labu,” katanya.

Isham turut menyuarakan kebimbangan bahawa kanak-kanak prasekolah akan menjadi ‘eksperimen dasar’ akibat keputusan yang tidak dirancang rapi.

“Budak-budak ni umur empat hingga lima tahun, membaca pun belum pandai, menulis pun belum tentu. Awak nak uji apa? Nak diagnostik pakai apa? Ini sangat sensitif kepada ibu bapa,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author