Connect with us

Terkini

Geng Rames : Rayer kecam polis guna SOSMA

Published

on

Foto: Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.
  • Dalam satu sidang media, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menggesa Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar, tampil memberikan penjelasan berhubung beberapa keraguan serius terhadap prosedur siasatan kes berkenaan, khususnya penggunaan SOSMA sejak peringkat awal tangkapan.
  • “Pihak polis telah terus menggunakan SOSMA untuk membuat tangkapan tanpa menjalankan soal siasat terhadap suspek terlebih dahulu, satu tindakan yang bercanggah dengan prosedur siasatan yang wajar,” jelasnya.

PULAU PINANG – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, mempersoalkan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didakwa menyalahgunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dalam kes melibatkan kumpulan yang dikenali sebagai “Geng Rames”.

Dalam satu sidang media, Rayer menggesa Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar, tampil memberikan penjelasan berhubung beberapa keraguan serius terhadap prosedur siasatan kes berkenaan, khususnya penggunaan SOSMA sejak peringkat awal tangkapan.

“Pihak polis telah terus menggunakan SOSMA untuk membuat tangkapan tanpa menjalankan soal siasat terhadap suspek terlebih dahulu, satu tindakan yang bercanggah dengan prosedur siasatan yang wajar,” jelasnya.

Rayer turut mendedahkan bahawa individu yang dinamakan sebagai pengadu dalam kertas pertuduhan kes tersebut merupakan seorang anggota polis.

Pendedahan itu, katanya, menimbulkan persoalan besar berkaitan kebebasan, ketelusan serta keadilan proses perbicaraan terhadap tertuduh.

Sebelum ini, seramai 15 lelaki telah didakwa di Mahkamah Sesyen Sungai Petani sejak Januari tahun lalu atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang “Geng Rames”.

Selain pertuduhan berkaitan kongsi gelap, kesemua tertuduh turut berdepan dua pertuduhan membunuh serta beberapa pertuduhan berkaitan dadah.

Rayer menegaskan bahawa memandangkan kes berkenaan melibatkan jenayah serius seperti pembunuhan, ia sepatutnya dibicarakan mengikut prosedur undang-undang jenayah biasa, bukannya melalui kuasa khas di bawah SOSMA yang boleh menafikan hak asasi tertuduh, termasuk hak untuk dibicarakan secara adil.

Sehubungan itu, Rayer menggesa pihak polis meneliti semula siasatan kes berkenaan serta memastikan setiap tindakan penguatkuasaan mematuhi prinsip kedaulatan undang-undang.

Dalam masa sama, beliau turut merayu agar kerajaan bersama pihak berkaitan menilai semula keberkesanan SOSMA secara menyeluruh, termasuk menggantung penggunaannya buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada proses reformasi undang-undang tersebut.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author