Terkini
Firdaus Wong menang saman fitnah, mahkamah arah bayar RM60,000
- Mahkamah memerintahkan Che Ibrahim membayar RM50,000 sebagai ganti rugi am (general damages) selain kos RM10,000 serta faedah lima peratus setahun sehingga penyelesaian penuh.
- “Saya kekal dengan prinsip bahawa kita boleh sahaja berbeza pendapat dalam pelbagai isu tetapi bukannya dengan memfitnah,” tegas pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung.
- Sementara itu, beliau turut memaklumkan masih terdapat beberapa individu lain yang telah dikenakan Notis Tuntutan (NOD) berhubung dakwaan fitnah terhadap dirinya.
KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung hari ini berjaya dalam saman fitnah terhadap Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, Che Ibrahim Mohamed, selepas Mahkamah Tinggi Kelantan memutuskan defendan telah memfitnah plaintif.
Mahkamah memerintahkan Che Ibrahim membayar RM50,000 sebagai ganti rugi am (general damages) selain kos RM10,000 serta faedah lima peratus setahun sehingga penyelesaian penuh.
Firdaus berkata, beliau melahirkan rasa syukur di atas keputusan mahkamah tersebut.
“Alhamdulillah. Menang saman fitnah ke atas Naib Pengerusi AMANAH Kelantan. Hari ini Mahkamah Tinggi Kelantan telah memutuskan bahawa Naib Presiden AMANAH Kelantan, Che Ibrahim Mohamed telah memfitnah saya.
“Selain itu, pihak mahkamah juga memerintahkannya untuk membayar sebanyak RM50,000 sebagai ‘general damage’ & kos sebanyak RM10,000 serta faedah 5% sehingga penyelesaian penuh,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut beliau, perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi alasan untuk melakukan fitnah.
“Saya kekal dengan prinsip bahawa kita boleh sahaja berbeza pendapat dalam pelbagai isu tetapi bukannya dengan memfitnah,” tegasnya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan masih terdapat beberapa individu lain yang telah dikenakan Notis Tuntutan (NOD) berhubung dakwaan fitnah terhadap dirinya.
Beliau turut menegaskan tindakan undang-undang akan diteruskan sekiranya fitnah berterusan walaupun telah ditegur secara baik.
“Ada lagi beberapa individu dan penyokong politik dari parti berlainan serta beberapa lagi individu belum Muslim yang telah saya serahkan NOD kepada mereka.
“Jikalau tegur dengan baik tidak jalan tetapi masih tetap mahu memfitnah, maka kita jumpa sahaja di mahkamah,” jelasnya.
Firdaus, berkata walaupun jumlah pampasan yang diberikan tidak besar, kemenangan tersebut diharap menjadi peringatan kepada semua pihak.
“Walaupun jumlah pampasan rendah tetapi saya berharap kemenangan hari ini akan menjadi pengajaran berguna kepada semua.
“Ini baru mahkamah dunia belum lagi mahkamah akhirat. Bertaubatlah,” ujarnya.
Pada Mac tahun lalu, dalam satu hantaran di Facebook, Che Ibrahim Mohamed dikatakan mendakwa Firdaus Wong, cuba mengancam ketenteraman negara dengan mencipta persepsi supaya kaum Melayu dan India bergaduh dan membenci Kerajaan MADANI.
Ia susulan satu perkongsian di Facebook Firdaus Wong, berhubung satu artikel The Merdeka Times yang melaporkan Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Faroz Jakel mendedahkan syarikat itu mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, namun tidak meneruskannya selepas mendapat nasihat
Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Dr. Zaliha Mustafa. – The Merdeka Times.