Terkini
Delcy Rodriguez dilantik sebagai pemangku Presiden Venezuela susulan operasi AS
- Menurut portal berita Ultimas Noticias, mahkamah mengarahkan Rodriguez memegang jawatan presiden “dengan pematuhan ketat terhadap Perlembagaan dan undang-undang Venezuela.”
- Presiden Dewan Perlembagaan mahkamah itu, Tania D’Amelio, berkata keputusan berkenaan dikeluarkan bagi memastikan “kesinambungan pentadbiran negara dan pertahanan negara.”
- Mahkamah turut menyatakan bahawa Maduro berada dalam keadaan “mustahil secara material dan sementara” untuk menjalankan tugasnya.
ISTANBUL – Mahkamah Keadilan Agung Venezuela pada Sabtu mengarahkan Naib Presiden Eksekutif Delcy Rodriguez supaya “segera” mengambil alih dan menjalankan tugas sebagai pemangku presiden, susulan operasi oleh Amerika Syarikat (AS) yang menangkap Presiden Nicolas Maduro dan membawanya ke New York, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.
Menurut portal berita Ultimas Noticias, mahkamah mengarahkan Rodriguez memegang jawatan presiden “dengan pematuhan ketat terhadap Perlembagaan dan undang-undang Venezuela.”
Presiden Dewan Perlembagaan mahkamah itu, Tania D’Amelio, berkata keputusan berkenaan dikeluarkan bagi memastikan “kesinambungan pentadbiran negara dan pertahanan negara.”
Mahkamah turut menyatakan bahawa Maduro berada dalam keadaan “mustahil secara material dan sementara” untuk menjalankan tugasnya.
Pada Sabtu, kerajaan Venezuela menuduh AS menyerang pepasangan awam dan tentera di beberapa negeri serta mengisytiharkan darurat nasional.
Presiden AS Donald Trump kemudiannya mengesahkan serangan “berskala besar” itu, sambil menambah bahawa Presiden Nicolas Maduro dan isterinya telah “ditangkap dan diterbangkan keluar dari negara itu.” – BERNAMA-ANADOLU