Connect with us

Terkini

Dasar kemasukan fleksibel Tahun 1 perlu struktur jelas – Pakar

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan.
  • Dalam hantaran Facebooknya, Ahli Psikologi Pendidikan, Dr Julie Safri berkata aspek berkaitan mekanisme pelaksanaan wajar diperjelaskan secara telus supaya semua pihak mempunyai kefahaman yang sama, selain memastikan kanak-kanak menerima sokongan sewajarnya.
  • Menurutnya, sehingga kini masih belum dinyatakan secara jelas sama ada penilaian diagnostik akan dilaksanakan secara langsung oleh pihak kementerian, atau ibu bapa perlu mencari sendiri saluran tertentu untuk mendapatkan penilaian tersebut.
  • “Bagaimana ibu bapa hendak membuat keputusan yang tepat dalam masa yang singkat, sambil anak masih cuba menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah? Ini bukan keputusan kecil. Ia melibatkan emosi, masa, kos dan masa depan anak. Bagi ramai ibu bapa, proses ini sangat membebankan dan mengelirukan,” tegasnya.

KUALA LUMPUR – Ahli Psikologi Pendidikan, Dr Julie Safri menegaskan bahawa meskipun niat dasar kemasukan fleksibel murid berusia enam tahun ke Tahun Satu adalah baik, keupayaan sistem sedia ada perlu dinilai secara realistik agar pelaksanaannya tidak menimbulkan kekeliruan serta membebankan ibu bapa.

Dalam hantaran Facebooknya, beliau berkata aspek berkaitan mekanisme pelaksanaan wajar diperjelaskan secara telus supaya semua pihak mempunyai kefahaman yang sama, selain memastikan kanak-kanak menerima sokongan sewajarnya.

“Walaupun niat dasar ini adalah baik, keupayaan sistem sedia ada perlu dilihat secara realistik. Aspek-aspek ini wajar diperjelaskan agar semua pihak mempunyai kefahaman yang sama tentang pelaksanaannya.

“Dasar yang baik bermula dengan niat yang jelas. Pelaksanaan yang berkesan bergantung kepada struktur yang jelas, profesional yang berkelayakan, perkhidmatan yang mudah diakses, serta kapasiti sistem yang realistik,” katanya menerusi satu hantaran Facebook.

Mengulas lanjut, Dr Julie berkata penekanan Menteri Pendidikan berhubung kesediaan psikologi dan emosi sebelum kanak-kanak memasuki alam persekolahan merupakan satu prinsip yang baik, namun beliau mempersoalkan mekanisme sebenar pelaksanaan penilaian diagnostik yang disebut dalam kenyataan menteri.

Menurutnya, sehingga kini masih belum dinyatakan secara jelas sama ada penilaian diagnostik akan dilaksanakan secara langsung oleh pihak kementerian, atau ibu bapa perlu mencari sendiri saluran tertentu untuk mendapatkan penilaian tersebut.

Beliau turut mengingatkan bahawa penilaian diagnostik bukan sekadar saringan ringkas dan bukan berdasarkan pemerhatian semata-mata, sebaliknya merupakan penilaian profesional yang berstruktur untuk mengenal pasti tahap perkembangan dan keperluan sebenar kanak-kanak.

Katanya, penilaian tersebut merangkumi beberapa domain penting termasuk bahasa dan komunikasi, kebolehan kognitif, perhatian dan kawalan kendiri, perkembangan emosi dan sosial, kesediaan literasi dan numerasi awal, serta kemahiran motor dan psikomotor.

“Penilaian ini biasanya melibatkan penggunaan instrumen piawai, tugasan berstruktur, interpretasi profesional, sejarah perkembangan kanak-kanak, pemerhatian tingkah laku, serta kolaborasi bersama ibu bapa dan guru.

“Paling penting, penilaian diagnostik  perlu dijalankan oleh profesional yang berkelayakan, seperti ahli psikologi terlatih atau pengamal khusus, dan bukan sekadar berdasarkan umur atau pemerhatian tidak formal,” jelas beliau.

Dalam masa sama, beliau membangkitkan realiti di lapangan apabila kebanyakan ibu bapa hanya mula mendapatkan penilaian diagnostik selepas anak memasuki sekolah dan mula menunjukkan kesukaran pembelajaran atau tingkah laku.

“Bayangkan pula keluarga yang anaknya langsung belum bersekolah dan hanya mula masuk sekolah pada usia enam tahun. Di mana anak ini patut ditempatkan? Arus perdana atau PPKI?

“Bagaimana ibu bapa hendak membuat keputusan yang tepat dalam masa yang singkat, sambil anak masih cuba menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah?

“Ini bukan keputusan kecil. Ia melibatkan emosi, masa, kos dan masa depan anak. Bagi ramai ibu bapa, proses ini sangat membebankan dan mengelirukan,” tegasnya.

Dr Julie turut menegaskan bahawa Malaysia berdepan kekangan sistemik termasuk keterbatasan penilaian perkembangan dan pembelajaran komprehensif di sektor awam kerana kebanyakan profesional bertauliah tertumpu di sektor swasta, selain sektor awam berdepan kekangan sumber serta tenaga kerja.

Tambah beliau, ketiadaan sistem saringan perkembangan nasional yang menyeluruh bagi kanak-kanak berumur dua hingga enam tahun selepas pemeriksaan awal bayi juga menyebabkan banyak kes  kelewatan perkembangan tidak dikenal pasti sebelum memasuki sekolah.

Sehubungan itu, Dr Julie menyeru agar dasar yang baik ini disokong dengan struktur pelaksanaan yang jelas dan kapasiti sistem yang mampan supaya tidak berlaku jurang antara pengumuman dasar dengan realiti pelaksanaannya di lapangan.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author