Terkini
Budaya ‘awek yeye’ didakwa bersarang dalam ATM
- Pendedahan berani itu dibuat oleh beberapa pegawai tentera, termasuk seorang Pegawai Muda (YO), mengenai kewujudan budaya tidak bermoral yang dikenali sebagai ‘awek yeye’ dalam sebahagian kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
- “Kami pegawai muda terpaksa bayar semua kos ini. Dalam seminggu pernah sampai empat kali. Seorang boleh habis RM300 hingga RM400 sehari, belum termasuk pinjaman peribadi yang terpaksa diambil semata-mata untuk menampung kos ini,” katanya dalam satu luahan yang tular.
- Pendedahan itu turut disokong oleh luahan beberapa individu lain termasuk isteri, bekas tunang dan teman wanita anggota tentera yang mendakwa kehidupan rumah tangga mereka musnah akibat budaya berkenaan.
KUALA LUMPUR – Pendedahan berani yang dibuat oleh beberapa pegawai tentera, termasuk seorang Pegawai Muda (YO), mengenai kewujudan budaya tidak bermoral yang dikenali sebagai ‘awek yeye’ dalam sebahagian kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencetuskan kebimbangan serius terhadap integriti dan kesejahteraan institusi pertahanan negara.
Menurut pendedahan seorang YO yang kini berdepan tekanan kerja dan kewangan, budaya berkenaan didakwa telah lama wujud dan membebankan pegawai muda yang baru melapor diri ke dalam pasukan.
Beliau mendakwa terpaksa menanggung pelbagai kos berkaitan aktiviti tersebut termasuk perbelanjaan arak, makanan, pengangkutan serta bayaran melibatkan wanita yang dikaitkan dengan budaya itu.

“Kami pegawai muda terpaksa bayar semua kos ini. Dalam seminggu pernah sampai empat kali. Seorang boleh habis RM300 hingga RM400 sehari, belum termasuk pinjaman peribadi yang terpaksa diambil semata-mata untuk menampung kos ini,” katanya dalam satu luahan yang tular.
Beliau turut meluahkan kekecewaan kerana niat asal menyertai ATM adalah untuk berkhidmat kepada agama dan negara, namun realiti yang dihadapi jauh berbeza apabila berdepan tekanan dalaman serta budaya yang disifatkan sebagai tidak bermoral dan merosakkan.
Pendedahan itu turut disokong oleh luahan beberapa individu lain termasuk isteri, bekas tunang dan teman wanita anggota tentera yang mendakwa kehidupan rumah tangga mereka musnah akibat budaya berkenaan.
Seorang isteri yang kini dalam proses perceraian berkata, amalan tersebut menjadi punca utama kehancuran perkahwinannya dan memberi kesan besar kepada anak-anak.
Seorang lagi isteri mendakwa dirinya dikhianati sejak dari fasa pertunangan sehingga kehamilan kerana suaminya terus terlibat dengan budaya ‘awek yeye’ walaupun sering bertugas di luar kawasan.

Malah, beliau terpaksa membuat laporan polis selepas mendakwa tidak yakin isu itu akan ditangani secara adil jika dilaporkan melalui saluran dalaman.
Dalam satu pendedahan lain, seorang wanita yang merupakan tunang kepada seorang YO mendakwa tunangnya dipaksa oleh pegawai atasan untuk mencari wanita bagi tujuan tertentu, sekali gus menambah tekanan psikologi dan moral kepada pegawai muda terlibat.
Bagaimanapun, beberapa pihak menegaskan bahawa pendedahan ini tidak wajar digeneralisasikan terhadap keseluruhan anggota ATM kerana masih ramai pegawai dan anggota yang berkhidmat dengan penuh disiplin, integriti dan amanah.
Namun, mereka berharap pendedahan ini menjadi titik tolak untuk siasatan menyeluruh serta langkah pembetulan bagi memastikan budaya tidak sihat itu dapat dihentikan sepenuhnya.-The Merdeka Times