Connect with us

Terkini

Ahli Parlimen Hulu Langat sahkan polis, pejabat agama siasat Program ‘Glamping With Pride’

Published

on

Foto: Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan.
  • Polis dan Pejabat Agama Daerah Hulu Langat kini sedang menjalankan siasatan berhubung program ‘Glamping With Pride’ yang didakwa menyalahi undang-undang dan hukum Islam.
  • Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan berkata, tindakan tegas perlu diambil sekiranya hasil siasatan mendapati program berkenaan melanggar peraturan sedia ada serta sensitiviti agama Islam.
  • “Saya dah adukan perkara ini ke polis dan juga pejabat agama daerah Hulu Langat. Kini, isu tersebut di dalam siasatan mereka, kalau program yang dibuat menyalahi undang-undang dan hukum Islam wajib diambil tindakan,” katanya kepada The Merdeka Times.

HULU LANGAT – Polis dan Pejabat Agama Daerah Hulu Langat kini sedang menjalankan siasatan berhubung program ‘Glamping With Pride’ yang didakwa menyalahi undang-undang dan hukum Islam.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan berkata, tindakan tegas perlu diambil sekiranya hasil siasatan mendapati program berkenaan melanggar peraturan sedia ada serta sensitiviti agama Islam.

“Saya dah adukan perkara ini ke polis dan juga pejabat agama daerah Hulu Langat.

“Kini, isu tersebut di dalam siasatan mereka, kalau program yang dibuat menyalahi undang-undang dan hukum Islam wajib diambil tindakan,” katanya kepada The Merdeka Times.

Menurut beliau, isu berkenaan turut melibatkan aspek tanggungjawab pemilik lokasi dan penganjur acara, walaupun terdapat kemungkinan pemilik resort tidak dimaklumkan secara terperinci mengenai bentuk program yang dijalankan.

“Pemilik tempat, lokasi pun tak pasti, pemilik resort, di luar pengetahuannya.

“Cuma nasihat kepada pemilik-pemilik ini, kena tanya apa event nak kena buat, kena dalam pengetahuannya untuk program, jangan fikirkan soal keuntungan sahaja, sebab ini isu sensitif, kena ambil berat,” katanya.

Tambah beliau, penganjur sepatutnya bersikap telus sejak awal dan memastikan sebarang janji yang dibuat tidak melanggar peraturan serta hukum Islam.

Beliau menegaskan bahawa semua pihak perlu lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat setempat dan tidak memandang ringan isu berkaitan undang-undang serta agama demi kepentingan keuntungan semata-mata.

Sebuah kumpulan pro lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ) hari ini menyatakan bahawa mereka akan meneruskan program ‘Glamping With Pride’ di Hulu Langat hujung minggu depan walaupun mendapat bantahan daripada PAS Selangor.

Kumpulan dikenali sebagai Jejaka itu menegaskan program selama dua hari itu adalah retreat berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya, dan kesedaran kesihatan.

Kumpulan itu turut menegaskan bahawa aktiviti sebegitu tidak melanggar undang-undang negara. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author