Terkini
61,116 rakyat Malaysia lepas kerakyatan, 94 peratus pilih Singapura
- Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, faktor ekonomi dan keluarga dikenal pasti sebagai punca utama seramai 61,116 rakyat Malaysia melepaskan kewarganegaraan mereka dalam tempoh lima tahun lalu.
- Menurut beliau, secara purata kira-kira 10,000 rakyat Malaysia memohon untuk melepaskan kewarganegaraan setiap tahun, dengan destinasi utama penghijrahan adalah Singapura.
- “Sebanyak 93.78 peratus pemohon memilih Singapura, diikuti Australia (2.15 peratus), Brunei (0.97 peratus) dan lain-lain negara sebanyak 3.1 peratus,” katanya.
KUALA LUMPUR – Faktor ekonomi dan keluarga dikenal pasti sebagai punca utama seramai 61,116 rakyat Malaysia melepaskan kewarganegaraan mereka dalam tempoh lima tahun lalu.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Badrul Hisham Alias berkata, daripada jumlah tersebut, wanita merekodkan permohonan tertinggi iaitu seramai 35,356 orang bagi tempoh lima tahun sehingga 17 Disember lalu.
Menurut beliau, secara purata kira-kira 10,000 rakyat Malaysia memohon untuk melepaskan kewarganegaraan setiap tahun, dengan destinasi utama penghijrahan adalah Singapura.
“Sebanyak 93.78 peratus pemohon memilih Singapura, diikuti Australia (2.15 peratus), Brunei (0.97 peratus) dan lain-lain negara sebanyak 3.1 peratus,” katanya dalam temu bual eksklusif.
Beliau menjelaskan, faktor ekonomi menjadi antara sebab utama, khususnya bagi mereka yang bekerja di Singapura kerana peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik, sekali gus memudahkan permohonan kewarganegaraan di negara tersebut.
“Selain itu, faktor keluarga turut memainkan peranan, misalnya individu yang berkahwin dengan warga asing seperti dari Kanada, kemudian berhijrah mengikut pasangan dan memilih untuk menjadi warganegara di negara berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Badrul Hisham berkata, terdapat juga kes pelucutan kewarganegaraan Malaysia, namun jumlahnya tidak signifikan berbanding kes pelepasan secara sukarela.
“Kebiasaannya, pelucutan berlaku apabila seseorang warganegara memperoleh kewarganegaraan negara asing dan menggunakan keistimewaan negara tersebut, sedangkan Malaysia tidak mengiktiraf dwi kewarganegaraan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Sebagai contoh, sekiranya seseorang mengundi di negara asing, dia dianggap mempunyai kewarganegaraan negara itu dan kewarganegaraan Malaysia boleh dilucutkan,” jelasnya.
Mengulas profil pemohon, beliau berkata kumpulan usia 31 hingga 40 tahun mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 19,287 orang atau 31.6 peratus, diikuti kumpulan umur 21 hingga 30 tahun seramai 18,827 orang (30.8 peratus).
Sementara itu, pemohon berusia 41 hingga 50 tahun merekodkan 14,126 orang (23.1 peratus), manakala mereka yang berusia lebih 50 tahun seramai 8,876 orang atau 14.5 peratus. – The Merdeka Times