Terkini
135 kes tangkapan isu LGBT direkodkan sejak 2022 hingga 2025
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, Kerajaan MADANI kekal tegas mempertahankan prinsip serta nilai norma sejagat dengan menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk promosi program berunsurkan LGBT atau LGBTQ di negara ini.
- “Dalam hal ini, kerajaan sentiasa bertegas mana-mana pihak atau masyarakat awam boleh segera melaporkan aduan kepada pihak MCMC.
- “Aduan boleh dibuat jika mendapati pihak-pihak tertentu telah menyalahgunakan platform media sosial di negara ini untuk menyebarkan dan mempromosikan aktiviti yang bertentangan dengan Islam dan nilai-nilai kesusilaan budaya masyarakat di Malaysia,” katanya
KUALA LUMPUR – Sebanyak 135 kes tangkapan berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) direkodkan oleh Bahagian Penguatkuasaan Syariah, Jabatan Agama Islam Negeri-negeri di seluruh negara bagi tempoh 2022 hingga 2025.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, Kerajaan MADANI kekal tegas mempertahankan prinsip serta nilai norma sejagat dengan menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk promosi program berunsurkan LGBT atau LGBTQ di negara ini.
“Dalam hal ini, kerajaan sentiasa bertegas mana-mana pihak atau masyarakat awam boleh segera melaporkan aduan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Aduan boleh dibuat jika mendapati pihak-pihak tertentu telah menyalahgunakan platform media sosial di negara ini untuk menyebarkan dan mempromosikan aktiviti yang bertentangan dengan Islam dan nilai-nilai kesusilaan budaya masyarakat di Malaysia,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) berhubung jumlah tangkapan kes LGBT daripada 2022 hingga 2025 dan jumlah mereka yang telah dikenakan tindakan serta langkah-langkah yang telah diambil bagi memastikan mereka yang pernah ditangkap tidak kembali terjebak dalam LGBT.
Dr. Zulkifli menjelaskan, aspek penguatkuasaan kes jenayah syariah berkaitan LGBT dalam kalangan orang Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri, selaras dengan Butiran 1, Senarai II – Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
“Kerajaan sentiasa peka dalam perkara berkaitan agama Islam termasuk penguatkuasaan kes-kes jenayah syariah seperti musahaqah, liwat, lelaki berlagak wanita serta kes yang boleh dikaitkan dengan LGBT di kalangan orang Islam adalah dalam bidang kuasa Negeri,” katanya.
“Di Wilayah Persekutuan, tindakan penguatkuasaan boleh dikenakan di bawah Akta Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 berdasarkan Seksyen 25 berkaitan Liwat, Seksyen 26 berkaitan Musahaqah dan Seksyen 28 berkaitan orang lelaki berlagak seperti perempuan,” tegasnya.
Namun jelas beliau, individu yang disyaki terlibat tetapi tidak mempunyai bukti mencukupi tidak akan terus dikenakan tindakan undang-undang, sebaliknya diberikan pendekatan pemulihan.
“Mana-mana orang yang disyaki terlibat tetapi tidak mempunyai bukti yang mencukupi akan diberikan nasihat, kaunseling atau diarahkan hadir kursus kesedaran dan pemulihan tentang kesalahan yang bertentangan dengan akhlak dan ajaran Islam yang sebenar,” jelasnya.
Dalam masa sama, kerajaan turut melaksanakan pelbagai program dakwah dan kursus khas bagi membimbing golongan berkenaan ke arah kehidupan yang lebih baik.
“Tujuannya bagi membimbing mereka ke arah yang lebih baik. Bantuan-bantuan tertentu juga disalurkan bagi membimbing mereka menceburi bidang pekerjaan yang lebih baik dan bidang perniagaan,” ujarnya. – The Merdeka Times.