Terkini
Yeo Bee Yin rai keputusan Najib: Akmal desak UMNO keluar kerajaan
- Seruan itu muncul selepas hantaran media sosial Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin yang menyatakan “satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini” sambil melampirkan keratan laporan media mengenai keputusan mahkamah membabitkan Najib.
- “Apa lagi yang perlu kita tunggu? Tarik sahaja sokongan daripada kerajaan ini. Biar kita jadi pembangkang yang bermaruah daripada dihina dari puak-puak bebal ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menggesa parti itu menarik balik sokongan terhadap kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, susulan perkembangan terbaharu melibatkan keputusan mahkamah berhubung permohonan semakan hukuman penjara Datuk Seri Najib Razak.
Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau menegaskan bahawa UMNO perlu memilih pendirian lebih bermaruah daripada terus dihina pihak tertentu dalam kerajaan.
“Apa lagi yang perlu kita tunggu? Tarik sahaja sokongan daripada kerajaan ini. Biar kita jadi pembangkang yang bermaruah daripada dihina dari puak-puak bebal ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Seruan itu muncul selepas hantaran media sosial Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin yang menyatakan “satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini” sambil melampirkan keratan laporan media mengenai keputusan mahkamah membabitkan Najib.
Mengulas lanjut, Muhamad Akmal menyeru semua perwakilan UMNO agar menyatakan pendirian tegas pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
“Saya minta semua perwakilan yang akan datang ke PAU nanti senada dan berani membawa suara rakyat serta akar umbi orang Melayu di bawah ini. Biar PAU kali ini sekali lagi digegarkan dengan menjadi medan suara keramat orang Melayu! Jangan takut, jangan gentar,” katanya.
Dalam kenyataan sama, beliau turut menyindir Yeo susulan kekalahan DAP di Sabah pada pilihan raya negeri baru-baru ini.
“Nak pesan pada Yeo Bee Yin juga, jangan lupa alasan satu lagi untuk kamu meraikan bagi tahun ini adalah parti kamu ditolak secara total di Sabah,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan kekal menjalani baki hukuman penjara di Penjara Kajang selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakannya berhubung Titah Adendum.
Hakim Datuk Alice Loke Yee Ching menolak permohonan tersebut selepas berpuas hati bahawa isu tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 29 Januari tahun lalu.
Mahkamah memutuskan bahawa tatacara pengampunan hanya terpakai seperti yang diumumkan, iaitu pengurangan tempoh hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun dan pengurangan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Susulan itu, Titah Adendum yang didakwa memberi hak tahanan rumah disifatkan tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan.
Najib kini menjalani hukuman penjara atas sabitan kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd.-The Merdeka Times