Connect with us

Terkini

Yeo Bee Yin kurang ajar, Seru UMNO nilai semula kerjasama – Asyraf Wajdi

Published

on

Foto: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
  • Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengecam kenyataan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin susulan hantaran di media sosialnya berkaitan keputusan mahkamah terhadap Datuk Seri Najib Razak, sambil menyifatkan kenyataan itu sebagai kurang ajar, melampau dan tidak berperikemanusiaan.
  • “Mungkin sudah tiba masanya UMNO memperhalusi kembali kerjasama yang terjalin jika masih ada pihak yang tidak mahu menghargai perjuangan UMNO selama ini,” katanya.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengecam kenyataan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin susulan hantaran di media sosialnya berkaitan keputusan mahkamah terhadap Datuk Seri Najib Razak, sambil menyifatkan kenyataan itu sebagai kurang ajar, melampau dan tidak berperikemanusiaan.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Asyraf berkata tindakan Yeo yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP seolah-olah tidak mempunyai rasa simpati terhadap bekas Perdana Menteri yang amat dihormati dalam UMNO.

“Jika tidak mampu menzahirkan sekelumit simpati, jangan keluarkan kenyataan kurang ajar dan menyakitkan hati,” katanya.

Asyraf menegaskan bahawa Najib merupakan pemimpin yang sangat disayangi dalam keluarga besar UMNO, dan parti itu kini membantu membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Yang dihina itu bekas pemimpin tertinggi UMNO yang amat disayangi. UMNO hari ini turut membentuk Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan dan nada kenyataan Yeo menimbulkan persoalan mengenai penghargaan terhadap sumbangan UMNO dalam kerajaan sedia ada.

“Mungkin sudah tiba masanya UMNO memperhalusi kembali kerjasama yang terjalin jika masih ada pihak yang tidak mahu menghargai perjuangan UMNO selama ini,” katanya.

Kenyataan itu menyusul selepas Yeo memuat naik satu hantaran berkaitan laporan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Datuk Seri Najib untuk melaksanakan titah adendum bagi tahanan rumah, dengan kapsyen menyatakan “sebab lain untuk meraikan hujung tahun”.

Hantaran tersebut mencetuskan reaksi negatif dalam kalangan pemimpin UMNO termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang sebelum ini menggesa parti menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Isu ini dijangka terus mencetuskan perdebatan dalaman politik negara khususnya dalam konteks hubungan UMNO–DAP dalam kerajaan.- The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author