Terkini
Warga sekolah digesa buang budaya sembunyi kes buli – Dr. Anuar Ahmad
- Timbalan Pengarah MINDA-UKM, Dr. Anuar Ahmad berkata budaya menyembunyikan kes buli perlu dielakkan kerana perbuatan itu hanya akan memburukkan keadaan.
- “Isu buli bukan sesuatu yang ringan jadi bila ada kes sepatutnya terus dilaporkan agar tindakan segera dapat diambil, dengan cara itu maka murid-murid yang lain akan melihat bahawa pihak sekolah sangat serius mereka tidak akan ikut melakukannya pada masa depan.
- “Malah pada saya mana-mana pihak yang menyembunyikan kes-kes buli terutamanya pihak sekolah patut dikenakan tindakan yang sewajarnya,” katanya.
KUALA LUMPUR – Mana-mana pihak terutamanya pihak sekolah yang cuba menyembunyikan kes buli perlu dikenakan hukuman atau tindakan yang tegas.
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata budaya menyembunyikan kes buli perlu dielakkan kerana perbuatan itu hanya akan memburukkan keadaan.
“Jangan kita sembunyikan kes buli ini, saya rasa budaya kita, masyarakat kita melihat kes ini secara ‘tertutup’ sebab ia memalukan sekolah dan sebagainya tapi pada saya kita kena melihat kes ini sebagai serius.
Tindakan itu, katanya, akan menyebabkan anak-anak kita yang jadi mangsa buli akan menjadi trauma selain berhadapan dengan banyak isu kemurungan, tertekan emosi dan sebagainya.
“Isu buli bukan isu yang ringan jadi bila ada kes sepatutnya terus dilaporkan dan tindakan segera dapat diambil, dengan cara itu maka murid-murid yang lain akan melihat bahawa pihak sekolah sangat serius mereka tidak akan ikut melakukannya pada masa depan.
“Malah pada saya mana-mana pihak yang menyembunyikan kes-kes buli terutamanya pihak sekolah patut dikenakan tindakan yang sewajarnya,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.
Tambah beliau, usaha mewujudkan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025 dan cadangan penubuhan Tribunal Antibuli menunjukkan keseriusan negara membasmi kes buli yang semakin kerap dilaporkan.
“Dengan adanya RUU Antibuli ini dan juga penubuhan Tribunal Antibuli ini satu tindakan yang baik yang respon kepada banyak kes-kes buli yang berlaku khususnya di kalangan pelajar-pelajar sekolah.
“Ia juga menunjukkan kita memang serius untuk mengambil tindakan yang swajarnya untuk membasmi ataupun cuba menyelesaikan isu buli yang berlaku,” katanya.
Menurut Anuar, data semasa jelas menunjukkan kejadian buli banyak berlaku di sekolah dan mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan ibu bapa yang khuatir anak mereka menjadi mangsa.
Anuar berkata gejala buli lazimnya bermula dengan salah laku kecil seperti melanggar peraturan, bergaduh, berkumpulan sehingga melawan guru.
Sehubungan itu, beliau menegaskan sistem penguatkuasaan disiplin sekolah perlu lebih tegas antaranya hukuman rotan secara berhemah bagi tujuan mendidik, selepas murid diberi nasihat dan amaran.
“Penguatkuasaan disiplin sekolah ini perlu diberikan perhatian yang besar oleh pihak sekolah sebab itu saya sokong misalnya penguatkuasaan disiplin dengan rotan. Maksudnya kita bukan nak merotan murid untuk menyakitkan dia tapi kita berhasrat untuk mendidik dia.
“Bukanlah kita nak rotan sesuka hati tetapi merotan dengan tujuan yang mendidik selepas diberi nasihat, peringatan, amaran tapi tidak juga berubah mungkin kita perlukan sedikit hukuman yang lebih keras seperti merotan.
“Saya percaya hukuman merotan dan dengan langkah-langkah penguatkuasaan disiplin ini ia akan dapat banyak membantu membasmi masalah disipln,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan mempertingkat kemudahan kaunseling di sekolah sebagai langkah penting mengekang isu buli, dengan menambah sesi bimbingan, khidmat nasihat serta pengukuhan pendidikan nilai.
Beliau berkata penekanan terhadap subjek seperti Pendidikan Islam, moral dan pembangunan sahsiah mesti diberikan sejak awal, bukan sekadar menyentuh aspek ibadah tetapi turut membentuk akhlak, adab dan moral murid bagi mencegah gejala buli daripada berakar umbi.
Semalam, media melaporkan, Malaysia mencatat sejarah apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025, satu inisiatif perundangan komprehensif ke arah mewujudkan persekitaran pendidikan yang lebih selamat dan bebas daripada budaya buli.
RUU tersebut antara lain memperkenalkan mekanisme khusus untuk menerima aduan, mencegah serta menguruskan insiden buli di institusi pendidikan dan institusi lain yang ditetapkan. Ia turut diluluskan dengan lebih suara bersetuju.
Melalui rang undang-undang itu, sebuah Tribunal Antibuli akan ditubuhkan sebagai badan berbidang kuasa sivil bagi mendengar dan memutuskan aduan berkaitan kes buli, sekali gus menyediakan laluan penyelesaian yang lebih cepat, adil dan berstruktur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menggulung perbahasan berkata buat permulaan, pelaksanaan RUU tersebut akan terpakai kepada golongan berusia 18 tahun ke bawah. – The Merdeka Times.