Connect with us

Terkini

(VIDEO) Masyarakat cina mula tolak DAP – Neow Choo Seong

Published

on

Foto: Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong.
  • Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata perubahan sentimen itu berlaku kerana pengundi Cina mahukan kepimpinan yang lebih meyakinkan serta mampu membawa peningkatan dalam kehidupan mereka.
  • Menurutnya, walaupun DAP sebelum ini menikmati sokongan hampir sepenuhnya daripada pengundi masyarakat Cina, parti itu gagal memanfaatkan peluang ketika berada dalam kerajaan.
  • Sementara itu, beliau berkata DAP dilihat terdesak sehingga mengugut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kemungkinan keluar dari Kerajaan Perpaduan sekiranya reformasi tidak dilaksanakan segera, walaupun parti tersebut memegang lima jawatan menteri dan enam timbalan menteri dalam kerajaan.

KUALA LUMPUR – Sokongan masyarakat Cina terhadap DAP dikatakan semakin merosot sejak dua tahun kebelakangan ini, menurut Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong.

Beliau berkata perubahan sentimen itu berlaku kerana pengundi Cina mahukan kepimpinan yang lebih meyakinkan serta mampu membawa peningkatan dalam kehidupan mereka.

“Sejak 2 tahun yang lepas, orang Cina sudah mula menolak DAP, mereka ini dinamik.

“Mereka mahukan perubahan kerana mereka sudah hilang keyakinan terhadap kerajaan,” katanya dalam satu wawancara yang dikongsi MCA di Facebook.

Menurutnya, walaupun DAP sebelum ini menikmati sokongan hampir sepenuhnya daripada pengundi masyarakat Cina, parti itu gagal memanfaatkan peluang ketika berada dalam kerajaan.

“Mereka sudah berkuasa secara mutlak dengan sokongan yang paling banyak, 95 peratus orang Cina. Mereka mempunyai 40 Ahli Parlimen serta 94 ADUN di seluruh negara.

“Selain itu, mereka turut memegang lima jawatan menteri, enam jawatan timbalan menteri, tak termasuk di Exco-Exco Negeri,” jelasnya.

Neow mendakwa kegagalan parti itu menunaikan manifesto serta membawa penambahbaikan kepada masyarakat Cina turut menjadi punca kemerosotan sokongan.

Sementara itu, beliau berkata DAP dilihat terdesak sehingga mengugut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kemungkinan keluar dari Kerajaan Perpaduan sekiranya reformasi tidak dilaksanakan segera, walaupun parti tersebut memegang lima jawatan menteri dan enam timbalan menteri dalam kerajaan.

“Kita lihat DAP sekarang begitu tertekan sehingga mengugut Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kononnya, kalau kerajaan tidak membuat reformasi segera, mereka akan keluar dari Kerajaan Perpaduan.

“Mereka juga memegang portfolio diberi jawatan menteri, sehingga lima jawatan menteri dalam Kerajaan Perpaduan serta enam timbalan menteri, saya rasa tidak adil kalau kita nak menyalahkan atau menuding jari kepada Perdana Menteri sahaja,” katanya.

Menurut Choo Seong, tindakan menyalahkan pihak lain selepas mengalami kegagalan ibarat mahu mengambil jalan singkat.

“Hari ini, apabila sudah markah kosong, dia nak tekan butang panik dan salahkan orang lain,” jelasnya.

Menurutnya, berbeza dengan MCA bahawa meskipun parti itu pernah tewas dan dilabel negatif, mereka tetap bekerja secara senyap bagi melaksanakan pembaharuan dalaman.

“MCA, walaupun kita kalah, walaupun kita pernah digelar biawak hidup, tetapi kita buat kerja diam-diam, kita fokus kepada pembaharuan dan pemulihan dalam parti.

“Kita tidak pernah mengugut, walaupun orang kata MCA nak keluar, nak masuk Perikatan Nasional, walaupun kenyataan itu tidak pernah datang daripada kita, datang daripada kawan kita. Kita mengambil tanggungjawab bersama, itu perbezaan.

Terdahulu, media melaporkan, DAP memberi amaran bahawa mereka akan menilai semula peranan mereka dalam kerajaan jika Perdana Menteri Anwar Ibrahim gagal melaksanakan reformasi bermakna dalam tempoh enam bulan akan datang.

Memetik laporan Malaysia Kini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata penilaian semula itu tidak bermaksud DAP akan menarik sokongan terhadap kerajaan, yang boleh mencetuskan ketidakstabilan politik. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author